LEGANES 1 BARCELONA 2

Ernesto Valverde berpendapat Barcelona jauh daripada aksi terbaik ketika menentang Leganes tetapi patut berpuas hati meraih kemenangan di Stadium Municipal de Butarque semalam.


Barca bangkit menerusi dua gol dalam babak kedua sewaktu menentang kelab kelompok bawahan LaLiga itu selepas ketinggalan hasil jaringan hebat Youssef En-Nesyri.

Luis Suarez menanduk masuk bola sepakan percuma Lionel Messi dan pemain gantian, Arturo Vidal, melengkapkan kemenangan ketika permainan berbaki 11 minit.

Kemenangan ketiga di tempat lawan dalam empat kunjungan membolehkan Barca kekal di tangga teratas liga walaupun berkongsi mata dengan pencabar utama, Real Madrid, tetapi Valverde mengakui pasukan bimbingannya itu tidak beraksi di tahap terbaik.

"Kami patut gembira," katanya.

"Saya tahu ia bukan perlawanan yang hebat dan kami sedar ia aksi yang sukar kerana lawan begitu ampuh.

"Pihak lawan menunjukkan keinginan yang tinggi tetapi saya tidak mahu memberi alasan. Mereka bertahan dengan baik dan menjadikannya sukar buat kami.

"Kami tidak melalui prestasi yang baik di tempat lawan kerana tewas dalam tiga perlawanan. Ia menyakitkan.

"Ia bukan aksi cemerlang tetapi dalam masa sama, kami ketinggalan satu gol. Ia sering berlaku kepada kami dan Barca bangkit untuk mencapai kemenangan.

"Apa yang positif adalah kami hampir tewas tetapi akhirnya menang. Saya tahu ia satu perlawanan sukar tetapi ini adalah aksi yang perlu diakhiri dengan kemenangan."

Valverde memasukkan barisan pemain menyerang dalam kunjungan ke Leganes dengan menurunkan Messi, Suarez, Antoine Griezmann dan Ousmane Dembele dalam formasi 4-2-3-1.

Namun, percaturan itu hanya membuahkan satu percubaan dalam babak pertama, yang menyaksikan usaha Suarez dinafikan Iva Cuellar.

"Kami berlatih dengan formasi itu sejak beberapa pemain kembali daripada aksi antarabangsa," tambahnya.

"Kami menjangkakan ruang di belakang tetapi apabila Leganes menyumbat gol, ia berubah.

"Jelas eskali kami perlu meningkatkan prestasi. Walaupun meraih kemenangan, anda menerima kritikan kerana peminat bukan sahaja melihat keputusan tetapi corak permainan.

"Namun, kami juga melakukan sesuatu yang bagus, jika tidak, kami tidak meraih kemenangan."