Juara LaLiga musim lalu, Barcelona, akhirnya berjaya menemukan pengganti Daniel Alves yang telah berhijrah ke Juventus apabila bakal mendapatkan khidmat pertahanan Valencia, Joao Cancelo, dengan nilai perpindahan GBP25 juta (RM137 juta).

Difahamkan, pemain berusia 22 tahun itu telah ditawarkan kontrak selama lima tahun, namun perpindahan tersebut hanya akan berlaku hujung musim ini atas permintaan pemain itu.

Barcelona telah mengadakan perjumpaan dengan ejen pemain itu, Jorge Mendes, bagi membincangkan secara terperinci perpindahan susulan pemain itu turut menjadi sasaran Chelsea dan Bayern Munich.

Bagaimanapun, media di Sepanyol melaporkan bahawa tiada pasukan yang mampu menggugat urusan Barcelona-Valencia tatkala pemilik Los Che, Peter Lim, mempunyai hubungan baik dengan kelab gergasi Sepanyol itu.

Skuad kendalian Luis Enrique sebelum ini telah pun mendapatkan khidmat bek kanan Sevilla, Aleix Vidal, namun pemain itu gagal menyesuaikan diri dengan corak permainan Barcelona sehingga memaksa Enrique mengunakan khidmat Sergi Roberto -- seorang pemain tengah -- untuk mengisi kekosongan tersebut.

Sebelum ini, beberapa nama telah dipetik sebagai pengganti Alves di posisi bek kanan, antaranya Hector Bellerin (Arsenal), Nathaniel Clyne (Liverpool), Glen Johnson (Stoke City) dan Serge Aurier (PSG).