Barcelona mampu menangi segalanya dengan Messi -- Guardiola

Oleh Penulis Jemputan 29 Oktober 2019 198
Barcelona mampu menangi segalanya dengan Messi -- Guardiola
Pep Guardiola tahu Barcelona akan memenangi segala-galanya sewaktu melihat aksi Lionel Messi buat kali pertama.

Pemenang lima kali Ballon d'Or itu muncul selaku bintang utama dalam tempoh empat tahun Guardiola mengemudi Camp Nou selepas menerapkan 'nombor 9 palsu'.

Dalam satu temu bual dengan Catalunya Radio, Guardiola menjelaskan bagaimana Messi menarik perhatiannya sewaktu menjaringkan gol ketika pramusim di Scotland.

"Saya diberitahu bahawa seorang pemain dalam skuad sangat bagus," katanya.

"Mereka memberitahu saya bahawa dia sangat muda tetapi menghasilkan banyak gol dan sangat bagus.

"Saya tidak mengenalinya dan satu hari, saya bertemu dia dan bapanya di kedai Nike. Saya melihatnya, begitu kecil dan malu sehingga saya terfikir: 'Adakah dia yang dikatakan bagus?'

"Kami memulakan pramusim di Scotland dan menang 6-1, 5-0. Dia menjaringkan tiga gol sehingga membuatkan saya terfikir, kami mampu memenangi segala-galanya bersama dia."

Barca menjulang 14 trofi sewaktu Guardiola bergelar pengurus, termasuk tiga LaLiga dan dua gelaran Liga Juara-Juara Eropah.

Pengendali Catalan itu meninggalkan Camp Nou pada 2012 dan menguruskan Bayern Munich pada tahun berikutnya.

Bercakap mengenai pergaulannya dengan pemain sewaktu mengendalikan Barca, Guardiola berkata: "Saya menikmati proses membina pasukan, melihat perubahan yang dilakukan berjaya dan segalanya mengikut perancangan berbekalkan persefahaman dan rasa hormat.

"Mereka adalah kelompok rakan yang keluar makan malam bersama dan tahu bagaimana untuk mara ke depan dalam kesukaran.

"Ia satu perkara yang sangat bagus tetapi kepentingan ketua dalam kelab besar seperti Barca bermakna anda tidak mempunyai banyak masa untuk menikmatinya.

"Hubungan yang kami miliki dengan pihak yang membina kelompok itu tidak ternilai. Tiada kejuaraan atau trofi dunia yang mampu ditukar dengannya.

"Kami banyak membantu antara satu sama lain. Namun, ada detik di mana disebabkan proses semulajadi, ia berakhir."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen