Barcelona akan beraksi tanpa Marc-Andre ter Stegen, Arthur dan Ousmane Dembele dalam pertemuan 'derby' LaLiga dengan Espanyol awal pagi esok.

Ketiga-tiga tonggak itu dipinggirkan daripada skuad 18 pemain menjelang pertembungan dengan pasukan bimbingan Abelardo Fernandez berkenaan.

Semalam, pengurus, Ernesto Valverde, mengesahkan khidmat penjaga gol, Ter Stegen, tidak dapat digunakan ekoran kecederaan tendon lutut yang meletakkannya dalam keraguan untuk perlawanan Supercopa de Espana di Arab Saudi pertengahan minggu depan.

Pemain tengah, Arthur, pula dijangka berehat selama tiga minggu berikutan masalah pangkal paha sementara Dembele belum pulih daripada kecederaan otot paha.

Bagaimanapun, tiada ruang buat pertahanan, Jean-Clair Todibo, yang dikaitkan dengan perpindahan ke Milan dan Everton bulan ini.

Berita baik buat Barca apabila Ansu Fati cergas untuk menghadapi perlawanan manakala Lionel Messi, Luis Suarez dan Arturo Vidal -- yang hanya kembali berlatih semalam selepas bercuti -- turut tersenarai.

Barca menuju akhir kempen 2020 dengan memimpin puncak LaLiga dengan kelebihan dua mata.




Editor: Shaiful Shamsudin