Barcelona mengumumkan Philippe Coutinho akan menjalani pembedahan lutut hari ini sementara laporan di Sepanyol mengaitkan pemain lincah itu akan terpinggir selama beberapa bulan.

Pemain Brazil tersebut muncul sebagai pemain gantian pada minit ke-66 ketika seri 1-1 dengan Eibar di Camp Nou, Rabu lalu tetapi dia gagal menamatkan petemuan terbabit.

Barca mengesahkan pemain antarabangsa Brazil berkenaan akan menjalani operasi pada meniskus luaran lutut kirinya, hanya selepas itu tarikh jangkaan untuknya kembali dapat ditentukan.

Satu kenyataan kelab itu berbunyi: "Philippe Coutinho akan dibedah oleh Dr. Joan Carles Monllau pada hari ini dan di bawah pengawasan perubatan kelab berikutan kecederaan di bahagian meniskus luar lutut kirinya.



"Sebaik pembedahannya selesai, maklumat lebih lanjut akan diberikan untuk memperincikan anggaran masa pemulihannya."

Beberapa media media Sepanyol melaporkan pemain berusia 28 tahun itu mungkin tidak dapat beraksi untuk jangka masa yang panjang dan berpotensi hingga April depan.

Ketiadaannya yang begitu lama akan menjadi tamparan buat pengurus Barca, Ronald Koeman, yang sudah pun kehilangan Ansu Fati, Sergi Roberto dan Gerard Pique akibat kecederaan.

Coutinho telah membuat 14 penampilan bersama kelab dari Catalunya itu musim ini dengan meledak tiga gol dan mencipta dua bantuan jaringan. Dia menghabiskan musim lalu dipinjamkan ke Bayern Munich dan membantu kelab Jerman tersebut mendapatkan memenangi tiga kejuaraan yang merangkumi Liga Juara-Juara (UCL).

Khabar angin terus berlegar bahawa dia akan berkelana bulan ini tetapi pergelutan baru ini mungkin memastikan dia akan terus kekal di Sepanyol bagi kempen 2020-21.