Barcelona harus utamakan Neymar berbanding Martinez -- Rivaldo

Oleh Nafis Abdullah 4 April 2020 593
Barcelona harus utamakan Neymar berbanding Martinez -- Rivaldo
Barcelona patut berusaha mendapatkan semula khidmat Neymar untuk digandingkan dengan Lionel Messi berbanding cuba membawa Lautaro Martinez ke Camp Nou, kata bekas bintang kelab itu, Rivaldo.

Juara LaLiga, Barca, cuba untuk mendapatkan semula Neymar selepas berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG) menerusi yuran berjumlah EUR222 juta (RM1.04 bilion) pada 2017, namun perpindahan itu gagal dilaksanakan.

Barca juga dilaporkan berminat dengan khidmat bintang Inter, Martinez, tatkala mereka mencari pengganti jangka masa panjang buat Luis Suarez.

Rivaldo -- yang memenangi dua kejuaraan LaLiga sewaktu beraksi untuk gergasi Catalan itu -- percaya Neymar kini sedia untuk mengetuai Barca bersama Messi.

"Spekulasi hangat mengatakan Barca mahu mendapatkan Neymar dan Martinez dalam jendela perpindahan seterusnya," katanya.

"Walaupun Martinez seorang pemain bagus, saya fikir hanya Neymar mampu mengisi kesebelasan pemain bersama Messi.

"Dalam beberapa tahun sebelum ini, ramai pemain hebat yang tidak mampu beraksi dengan baik bersama Messi sekali gus gagal mencapai prestasi sebenar.

"Namun, Neymar -- seperti Suarez -- merupakan sebilangan kecil pemain dalam dunia yang tidak tertekan di atas padang berbekalkan personaliti sendiri.

"Dia tidak pernah gentar dan menjadi pilihan selamat untuk kelab berbanding bintang muda Argentina, Martinez, yang mungkin memerlukan dua atau tiga tahun.

"Buat masa sekarang, saya fikir kelab harus utamakan Neymar. Saya berminat dengan kualiti dan personaliti yang dimiliki walaupun sedar ada peminat Barca yang tidak sukakan cara dia meninggalkan kelab sebelum ini.

"Namun, realitinya dia seorang pemain berbeza sekarang dan mampu memberi bantuan yang Messi perlukan untuk memenangi Liga Juara-Juara Eropah."
 

Tentang Penulis

Nafis Abdullah

Komen