Barcelona gagal mencapai kesepakatan dengan barisan pemain mengenai usaha mengurangkan gaji mereka.

Gergasi LaLiga itu perlu menurunkan bil gaji mereka berikutan masalah kewangan yang serius disebabkan penularan COVID-19.

Barca mendedahkan pandemik itu telah menyebabkan mereka kehilangan pendapatan lebih daripada €300 juta (RM1.4 bilion) pada musim ini tatkala kelab berkenaan perlu melakukan pelarasan gaji sebanyak €191j (RM930.2j).

Begitupun, perbincangan di antara Barca dan wakil pemain -- termasuk sekumpulan pegawai korporat -- semalam berakhir tanpa persetujuan.

"Hari ini, 11 November, selepas beberapa hari mengadakan pertemuan intensif dan melakukan rundingan, pihak yang terlibat telah mengakhiri rundingan tanpa mencapai kesepakatan," menurut satu kenyataan daripada kelab itu.

Kenyataan itu juga mendedahkan kesemua pihak menetapkan 23 November depan sebagai tarikh akhir rundingan ini boleh dimeterai.

Laporan menunjukkan bahawa kelab dari wilayah Catulnya itu berhasrat memotong gaji pemain yang berpendapatan tinggi sebanyak 30 peratus termasuk Lionel Messi.

Barca dipercayai merupakan salah satu kelab yang menanggung gaji tertinggi di Eropah sehingga mendorong pemain utama seperti Luis Suarez, Ivan Rakitic dan Arturo Vidal dilepaskan.

Pasukan asuhan Ronald Koeman itu menghuni tangga kelapan di LaLiga, sembilan mata dipisahkan dengan pendahulu, Real Sociedad, tetapi memiliki kelebihan dua perlawanan.