Skuad Barcelona berada dalam "keadaan sempurna" bagi perjuangan penghujung musim ini dan akan terus memberi tekanan kepada Real Madrid untuk kejuaraan LaLiga, menurut Arturo Vidal.

Saingan tertinggi Sepanyol itu bersambung bulan ini dengan juara bertahan, Barca, dua mata di depan Madrid, tetapi kelebihan itu dihapuskan oleh kebuntuan jaringan Blaugrana dengan Sevilla, Jumaat lalu.

Pasukan kendalian Zinedine Zidane itu pula menang keempat-empat perlawanan sejak kembali memulakan kempen dan kini di kedudukan teratas berdasarkan rekod unggul menentang Barca yang mengintai gelaran ketiga berturut-turut.

Begitupun, Vidal optimis Barca mampu mengatasi kesukaran jadual padat yang akan menyaksikan mereka beraksi dalam tujuh perlawanan liga dalam tempoh tiga minggu.

"Oleh kerana perlawanan semakin hampir, kami perlu menggunakan masa dengan sebaik mungkin bagi memastikan kami dapat melangkah ke aksi berikutnya dalam keadaan yang terbaik," katanya kepada FOX Sports.

"Tetapi saya fikir kita berada dalam keadaan sempurna untuk menjadi juara.

"Suasana yang hebat antara rakan pasukan merupakan faktor penting. Kami semua telah menjadi rakan karib dan ia membantu persembahan kami di atas padang. Faktor ini sangat penting kerana ia telah terbukti. Saya gembira."

Perjuangan Barca musim ini tidak akan terhenti selepas kempen LaLiga mereka berakhir di Deportivo Alaves pada 19 Julai depan.

Ini kerana anak buah Quique Setien masih mempunyai kesempatan dalam Liga Juara-Juara (UCL) Ogos depan apabila bakal turun dalam pertemuan kedua pusingan 16 dengan Napoli selepas 1-1 di Itali, Februari lalu.

Kempen suku akhir dan separuh akhir akan berlangsung di Lisbon, yang bertindak tuan rumah kepada perlawanan akhir. Lantaran itu, Vidal amat gembira dengan kaedah penganjuran yang diperkenalkan itu.

"Saya sukakan formatnya," tambahnya.

"Sekiranya kami dapat menundukkan Napoli, ia akan menjadi sangat aneh kerana bagaimana dan di mana ia berlaku, Ogos depan dalam satu lagi pertemuan.

"Bagaimanapun, apa yang penting ialah perlawanan. Saya mahu memainkan watak penting dalam perlawanan itu."