Pengarah Sukan Barcelona, ​​Ramon Planes, mendedah hasrat untuk menandatangani penyerang baru tetapi belum mahu mengesahkan bahawa Luis Suarez akan meninggalkan kelab itu.

Suarez semakin hangat dikaitkan dengan Juventus selepas dia diberitahu melalui telefon oleh pengurus baru, Ronald Koeman, bahawa dia tiada berada dalam perancangan skuad utama musim ini.

Namun, belum ada kesepakatan dengan jaguh Serie A itu, justeru Planes belum bersedia menawarkan perkembangan terbaru mengenai bintang Uruguay berkenaan dalam majlis perkenalan Miralem Pjanic, malam tadi.

"Dia merupakan tunjang buat Barcelona dalam beberapa tahun kebelakangan ini dan oleh itu, dia berhak dilayani dengan penuh rasa hormat," kata Planes.

"Menjelang akhir musim lalu, kami dalam proses perubahan, mengubah pengurus dan idea. Tetapi kami harus menghormati pemain dan kontrak mereka. Hingga 5 Oktober depan, iaitu sebelum jendela perpindahan ditutup, apa jua boleh berlaku. "

Dengan Suarez dijangka pergi, Barca memberi isyarat untuk memburu Memphis Depay daripada Lyon, pemain yang menyerlah di bawah kendalian Koeman ketika bersama Belanda.

Terdapat laporan di tanah air mereka yang mengatakan Depay telah pun mencapai kesepakatan untuk berhijrah ke Camp Nou dengan bayaran awal €25 juta (RM122.2j) di sebalik balas di Sepanyol yang mengatakan lamaran itu ditolak.

Planes menjelaskan bahawa skuad Catalan itu sedang mengintai khidmat penyerang dengan mengatakan: "Sudah berbulan-bulan kami berusaha meningkatkan pasukan, mencari pemain yang berkualiti dan pengalaman memandangkan bukan pemain sebarangan mampu mewakili Barca.

"Kami mencari penggempur tetapi ia tidak bergantung kepada pemain yang akan dilepaskan dalam skuad ketika ini. Kami sering bercita-cita untuk memiliki skuad terbaik."

Planes juga mengakui minat terhadap pertahanan Manchester City, Eric Garcia, yang dalam tahun terakhir kontraknya di Stadium Etihad dan tidak akan memperbaharui perjanjiannya.

"Kami cuba mendapatkan pemain yang boleh membantu pertahanan dan Eric pilihan yang menarik, dia boleh berkembang di sini," tambah Planes.

"Kami ingin membina pasukan yang menggabungkan bakat, kualiti dan belia, dan Eric sesuai dengan profil yang kami mahukan dan kami mahu mengidamkan sentuhan, tetapi terdapat nama lain juga yang sedang dipantau tetapi tidak muncul di media."