Ivan Rakitic merayu kepada peminat Barcelona agar kekal bersama pasukan apabila mereka berusaha untuk mencari satu lagi kebangkitan terkenal Liga Juara-Juara Eropah dalam kunjungan Juventus ke Camp Nou, Rabu ini.

Pemain tengah itu bermain 90 minit penuh awal pagi tadi dengan Lionel Messi menjadi inspirasi Barca meraih kemenangan 3-2 ke atas Real Sociedad untuk terus bersaing merebut gelaran LaLiga, dengan pendahulu, Real Madrid.

Hasilnya menjadi persediaan yang kukuh untuk pertemuan dengan gergasi Serie A, Juve, yang mendahului 3-0 dalam perlawanan pertama suku akhir.

Tetapi walaupun keadaan kelihatan begitu pudar untuk Barca, Rakitic berikrar bahawa kelab Catalan itu boleh mengambil inspirasi daripada kebangkitan ajaib menentang Paris Saint-Germain (PSG) pada pusingan lepas, apabila mereka tewas dalam perlawanan pertama 4-0.

"Jika kami bermain dengan cara ini, kami boleh melakukan apa yang kami lakukan dalam permainan lain -- seperti menentang PSG, sebagai contoh," kata Rakitic kepada Movistar+.

"Walau apa pun, kami percaya pada diri kami dan peminat kami boleh mempercayai kami juga."

Sociedad, yang memburu tempat kelayakan Eropah untuk musim depan, menjadi lawan yang sukar di Camp Nou, menjaringkan dua gol lewat pada babak pertama yang mendebarkan untuk memberikan tekanan kepada tuan rumah.

Dan Rakitic mengakui Barca mempunyai beberapa perkara untuk ditingkatkan apabila mereka menuju ke enam perlawanan terakhir musim ini dengan kini tiga mata di belakang pendahulu LaLiga, Madrid.

"Ia satu kemenangan yang sangat sengit," tambah pemain berbangsa Croatia itu.

"Sociedad adalah pasukan yang mempunyai personaliti dan mereka mahukan bola. Kami mempunyai peluang untuk membuat lebih banyak gol tetapi ia adalah perlawanan yang baik.

"Memang benar kami perlu memperbaiki sesuatu tetapi yang paling penting dalam permainan ini adalah untuk terus menang. Kami amat gembira dengan kemenangan ini, kami perlu terus dengan cara ini."