Lionel Messi tidak akan diberi layanan istimewa tatkala Barcelona berusaha untuk mengurangkan bil gaji mereka menjelang pilihan raya presiden yang akan berlangsung sekitar bulan depan.

Kelab Catalan itu terdesak untuk mengurangkan perbelanjaan mereka kepada €300 juta (RM1.4 bilion) untuk kekal stabil daripada segi kewangan memandangkan mereka perlu beraksi di gelanggang tertutup angkara krisis COVID-19.

Barca berharap dapat mencapai persetujuan dengan skuad utama minggu ini berhubung soal penangguhan gaji dan Presiden Suruhanjaya Pengurusan Barca, Carles Tusquets, menjelaskan bahawa Messi, yang memiliki kontrak di Camp Nou hingga Jun tahun depan, akan dilayani serupa dengan bintang lain.

Pemenang enam gelaran Ballon d'Or itu menyatakan hasratnya untuk meninggalkan Barcelona pada Ogos lalu tetapi kekal selepas bekas Presiden, Josep Maria Bartomeu, menolak untuk melepaskannya secara percuma.

"Saya rasa kami akan mencapai kesepakatan. Barisan pemain kelihatan sudi melakukannya. Kami tidak mahu mengambil wang daripada sesiapa pun sebelum kami dapat membayarnya secepat mungkin -- ini adalah jalan penyelesaian yang kami fikirkan adalah yang paling sesuai dengan situasi ketika ini," kata Tusquets.

"Kami tidak boleh mencapai kesepakatan khusus demi Messi semata-mata. Kami boleh sahaja mengetengahkan struktur berbeza untuk kes yang serupa tetapi kami tetap enggan membuat perjanjian berdasarkan individu sahaja.

"Kami berhasrat untuk menyelesaikan masalah ini dengan seluruh kakitangan dan semua pekerja, kami akan melakukan segala yang mungkin untuk memastikan semua orang berpuas hati.

"Ia bergantung kepada wang yang ada, kami sedar bahawa pendapatan kami akan menurun sekitar €300 juta sekiranya kami masih belum dapat membuka stadium kepada pengunjung. Walaupun kami boleh melakukan, kami berkeras untuk tidak sepenuhnya membukanya musim ini."




Menurutnya lagi: "Saya tidak akan berbahas mengenai Messi kerana kami harus menyelesaikan rundingannya terlebih dahulu. Apa yang dapat saya boleh katakan ialah, Messi dan wakilnya sudi melakukannya.

"Tidak ada sebab untuk kami menyembunyikan kenyataan bahawa bil gaji Barcelona adalah yang tertinggi di Eropah, tetapi saya ingin melihat masa depan dan hari ini saya bersama (Pengarah Teknikal, Ramon) Planes, (pengurus, Ronald) Koeman serta (Ketua Eksekutif, Oscar) Grau.

"Saya mengucapkan tahniah kepada mereka atas keberanian untuk mempertaruhkan pemain muda, tidak ramai yang mempunyai keberanian sebanyak itu.

"Kami berada di kedudukan teratas daripada segi perbelanjaan gaji, ia adalah sekitar 70 peratus daripada jumlah anggaran kelab dan itu terlampau tinggi jadi kami sedang mengusahakannya."

Biarpun, jaguh LaLiga itu gagal memenangi empat perlawanan terakhir liga, Tusquets bagaimanapun menjelaskan kelab berkenaan tidak merancang untuk berbelanja besar sebaik jendela perpindahan Januari dibuka.

Dia berkata: "Saya rasa kami hanya perlu mendapatkan pemain secara percuma atau jika ada pemain yang dilepaskan, maka kami bolehlah membeli.

"Tetapi segala keputusan ini boleh dibatalkan oleh presiden berikutnya. Sekiranya jawatankuasa baru ingin mengubah semua keputusan yang kami telah putuskan, maka mereka bebas untuk melakukannya."