Quique Setien sudah mula melakukan perubahan di Barcelona dan setiap pemain berada di belakangnya, kata Marc-Andre ter Stegen.

Bekas pengendali Real Betis, Setien, mengambil alih pendahulu LaLiga, Barca, Isnin lalu selepas kelab itu mengambil keputusan untuk berpisah dengan Ernesto Valverde.

Ujian pertamanya bermula dengan berdepan Granada di Nou Camp esok.

Setibanya beliau di Barca, Setien mengucapkan terima kasih kepada Valverde di atas usahanya, namun berikrar untuk mengetengahkan corak permainannya yang tersendiri.

Penjaga gol Barca, Ter Stegen, mendedahkan Setien telah mula mengetengahkan idea baru ke dalam skuad The Blaugrana dan pemain kebangsaan Jerman itu berkata akan melakukan yang terbaik bagi memastikan kejayaan pengendali berusia 61 tahun itu.

"Kami memiliki jurulatih baru, yang mahu melakukan perubahan. Semua orang memiliki idea dalam bola sepak. Kami sedia mendengar dan cuba melakukan yang sebaik mungkin," kata Ter Stegen.

"Kami mahu kekal di kedudukan pertama dalam LaLiga dan terus bersaing dalam Liga Juara-Juara (UCL).

"Perjalanan kami masih panjang dan akan berusaha untuk melakukan yang terbaik."



Editor: Ammar Hakim