Barca sasar gelaran Copa del Rey, kejar Atletico dalam LaLiga

Oleh Muzaffar Musa 28 Januari 2021 70
Barca sasar gelaran Copa del Rey, kejar Atletico dalam LaLiga
Ketua jurulatih Barcelona, Ronald Koeman, berkata pasukannya sedang mencuba untuk memenangi Copa del Rey sambil menghambat pendahulu LaLiga, Atletico Madrid.

Barca bangkit daripada ketinggalan untuk menewaskan pasukan liga divisyen dua, Rayo Vallecano, 2-1 dalam perlawanan pusingan 16 Copa del Rey awal pagi tadi.

Fran Garcia meletakkan Vallecano di depan pada minit ke-63 sebelum Lionel Messi menyamakan kedudukan enam minit berselang dan Frenkie de Jong melengkapkan kebangkitan Barca pada 10 minit terakhir.

Ia merupakan musim mencabar buat Barca berkenaan masa depan Messi, kemerosotan ekonomi mereka berikutan pandemik koronavirus dan bergelut mencari rentak terbaik di mana pasukan gergasi Sepanyol itu sedang ketinggalan 10 mata di belakang Atletico dalam LaLiga dan tewas dalam final Supercopa de Espana.

Tetapi Koeman dan Barca masih kekal dengan sasaran kejuaraan mereka dan kelab Catalan itu akan berdepan Paris Saint-Germain (PSG) dalam pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL).
 
"Saya amat gembira," kata Koeman dalam sidang media selepas pasukannya layak ke suku akhir Copa del Rey.

"Kami bermain dengan baik sejak dari awal. Pada babak pertama, kami memberikan banyak ancaman kepada mereka, ketika hantaran terakhir kami, ada beberapa ketika di mana kami boleh mendapatkan sepakan penalti.

"Benar kami mempunyai masalah dalam babak pertama. Dalam babak kedua, terutama selepas dibolosi, saya fikir kami telah menunjukkan perwatakan, menjaringkan gol berkualiti, kami bangkit dalam perlawanan ini.

"Pada akhirnya, anda sentiasa bergelut dengan keputusan tipis yang hanya dibezakan dengan satu gol. Secara keseluruhan kami bermain baik."
 
Koeman menambah: "Sasaran kami adalah untuk melalui perlawanan demi perlawanan, cuba memenangi setiap perlawanan dan melonjak dalam kedudukan liga. Merapatkan jurang dengan pasukan di atas dan bermain dalam UCL.

"Kami mahu memenangi Copa (del Rey). Saya fikir ini adalah mentaliti yang pasukan kami telah tunjukkan dalam kesemua kejohanan dan mencuba mendapatkan yang terbaik dalam setiap kejohanan. Ia penting, kami adalah Barca tetapi tiada perlawanan mudah buat kami."
 

Tentang Penulis

Muzaffar Musa

Komen