Barcelona mengesahkan Ansu Fati akan diketepikan lebih kurang selama empat bulan selepas menjalani pembedahan koyak meniscus dalaman di lutut kirinya.

Pemain berusia 18 tahun itu terpaksa dikeluarkan ketika Barca meraih kemenangan 5-2 ke atas Real Betis hujung minggu lalu dan kelab itu kemudian mendedahkan mengenai tahap kecederaannya.

Satu kenyataan yang dikeluarkan Barca mengesahkan Fati perlu menjalani pembedahan lutut oleh Dr. Ramon Cugat dan pembedahan itu selesai awal pagi tadi.

Susulan prosedur itu, skuad Catalan berkenaan menjangkakan pemain muda itu mungkin terpaksa diketepikan sehingga Mac depan.

"Pemain pasukan utama, Ansu Fati, telah berjaya menjalani pembedahan oleh Dr. Ramon Cugat susulan kecederaan meniscus dalaman di lutut kirinya di bawah pemantauan pasukan perubatan kelab. Pemain itu dijangka akan diketepikan selama empat bulan," kata kenyataan itu.

Sebelum kecederaan itu, Fati berada di kedudukan teratas penjaring terbanyak LaLiga musim ini dengan empat gol, rekod lebih banyak berbanding pemain Barca lain.

Terdahulu, dia turut dipanggil untuk memperkuatkan skuad kebangsaan Sepanyol bagi tugasan antarabangsa menentang Belanda, Switzerland dan Jerman bulan ini.