Ronald Koeman memberikan penghormatannya buat Kylian Mbappe sambil mengakui Barcelona perlu menerima hakikat bahawa Paris Saint-Germain (PSG) merupakan pasukan yang lebih lengkap selepas tewas dalam perlawanan pertama pusingan 16 Liga Juara-Juara Eropah (UCL) di Camp Nou awal pagi tadi.

PSG -- naib juara edisi lalu -- membawa kelebihan selesa menjelang aksi kedua hasil jaringan hatrik Mbappe untuk meraih kemenangan 4-1 di tempat lawan.

Lionel Messi, yang sedang dikaitkan untuk berpindah ke PSG, membuka jaringan buat Barca menerusi sepakan penaltinya sebelum lawan dari Perancis itu mula mempamerkan dominasi menerusi penyudah Mbappe dan Moise Kean.

Juara Ligue 1 itu menunjukkan betapa mereka pasukan yang lebih baik daripada Barca untuk sebelah kaki melayakkan diri ke suku akhir UCL menjelang perlawanan kedua 10 Mac ini.

Ketua jurulatih Barca, Koeman, mengakui dapat melihat PSG sebagai pasukan yang lebih baik dan gergasi LaLiga kendaliannya itu perlu melakukan sesuatu untuk menyaingi pasukan bimbingan Mauricio Pochettino berkenaan dalam perlawanan berikutnya.

"Mereka pasukan yang lebih baik, mereka amat berkesan, secara khususnya hasil daripada Mbappe," kata Koeman.

"Babak pertama berlangsung seimbang, Ousmane (Dembele) memiliki peluang yang baik. Dalam babak kedua, kami menghadapi sedikit masalah pertahanan.

"Mereka membuktikan bahawa mereka pasukan yang lebih hebat ketika dengan bola, terutama secara fizikal.

"Mereka memiliki pasukan yang lebih lengkap berbanding kami. Kami perlu menerimanya dan terus meningkat. Kami sedar ia boleh berlaku. Pasukan itu lebih baik daripada kami," katanya.

Barca sebelum ini pernah menterbalikkan defisit 4-0 untuk menyingkirkan PSG dengan kemenangan 6-1 dalam perlawanan kedua pada 2017.

'La Remontada' atau 'kebangkitan' sudah sebati dalam istilah bola sepak Eropah tetapi Koeman tidak terlalu berharap untuk melakukan perkara sama menjelang pertemuan di Parc des Princes bulan depan.

"Kekalahan 1-4 ini amat sukar. Hanya ada sedikit kemungkinan untuk kami bangkit.

"Kami kehilangan beberapa perkara untuk berada di tahap terbaik, terutama dalam UCL," katanya lagi.