BARCELONA 5 CELTA VIGO 0

Selepas dipaksa seri 1-1 dalam perlawanan pertama, Barcelona menunjukkan kebangkitan dalam aksi timbal balik pusingan 16 Piala Raja Sepanyol di Camp Nou apabila membelasah Celta Vigo 5-0, awal pagi tadi.


Pemenang lima kali anugerah Ballon d'Or, Lionel Messi, memulakan pesta gol Barca seawal minit ke-13 selepas menerima hantaran Jordi Alba dari sebelah kiri, sebelum menambah satu lagi gol dua minit kemudian, sekali lagi hasil umpanan pertahanan Sepanyol itu.

Pada minit ke-28, giliran Alba untuk menyempurnakan bola hantaran jauh daripada Messi menerusi tolakan kaki kiri yang menewaskan penjaga gol Celta Vigo, Sergio Alvarez.

Kesilapan pertahanan pelawat yang gagal mengeluarkan bola dari kawasan bahaya akhirnya mengundang padah tiga minit kemudian selepas memberikan ruang buat penyerang, Luis Suarez, menjaringkan gol keempat buat tuan rumah.

Bersambung dalam babak kedua, skuad kendalian Ernesto Valverde itu memperlahankan tempo permainan, namun dalam masa sama tetap menguasai bola hampir di segenap kawasan.

Tatkala aksi bakal berakhir 4-0, Ousmane Dembele bijak melepasi pertahanan lawan sebelum bola hantarannya mudah ditanduk masuk oleh Ivan Rakitic untuk mengesahkan kemenangan 6-1 menerusi agregat buat Barca.


Lapan pasukan ke suku akhir Piala Raja Sepanyol musim 2017/18:

Alaves
Atletico Madrid
Sevilla
Valencia
Leganes
Real Madrid
Espanyol
Barcelona