Barcelona menang setiap kali Messi tidak bermain kerana mereka "menggunakan kekuatan lain", kata bekas penjaga gol Argentina, Hugo Orlando Gatti.

Messi menamatkan penggantungan dua perlawanan yang dikenakan kepadanya susulan insiden dalam final Supercopa de Espana lalu ketika Barca menewaskan Elche dalam LaLiga semalam.

Pemenang enam kali Anugerah Ballon d'Or itu sedang hangat diperkatakan untuk berhijrah ke Paris Saint-Germain (PSG) atau Manchester City.

Barca memenangi 10 daripada 17 perlawanan liga musim ini bersama Messi selain mencatatkan satu kemenangan dan satu keputusan seri tanpa kehadiran penyerang itu.

Musim lalu, Barca merekodkan 66.7 peratus kemenangan bersama Messi dalam saingan liga, iaitu 22 kemenangan daripada 33 perlawanan, manakala pasukan gergasi Sepanyol itu merekodkan 60 peratus kemenangan tanpa ketua pasukan itu -- menang tiga daripada lima perlawanan.

Tetapi rakan senegara Messi, Gatti, yang kerap mengkritik Messi, berkata kepada El Chiringuito: "Setiap kali Messi tidak bermain, Barcelona menang kerana mereka boleh mengeluarkan kekuatan berbeza.

"Bola sepak adalah tentang kemenangan dan jika anda bermain bagus, ia menjadi lebih baik.

"Setiap kali Messi tidak bermain, Barcelona menang," katanya.

Messi -- yang kontraknya akan tamat pada peghujung musim ini -- telah menjaringkan 11 gol daripada 17 perlawanan liga bersama Barca musim ini dan secara keseluruhan 14 gol dalam kesemua kejohanan.

Skuad kendalian Ronald Koeman itu kini ketinggalan 10 mata di belakang pendahulu Serie A, Atletico Madrid, selepas perlawanan ke-19 musim 2020-21.

Barca akan berdepan Rayo Vallecano dalam pusingan 16 Copa del Rey awal pagi Khamis ini.