Barca enggan ambil risiko turunkan Dembele untuk aksi El Clasico

Oleh Penulis Jemputan 22 Disember 2017 855
 Barca enggan ambil risiko turunkan Dembele untuk aksi El Clasico
Ousmane Dembele dan Gerard Deulofeu menyertai sesi latihan bersama-sama Lionel Messi di Barcelona semalam dalam persiapan akhir pendahulu LaLiga itu sempena aksi El Clasico, esok. 

Ernesto Valverde mengesahkan tidak akan mengambil risiko terhadap Dembele untuk pertembungan dengan Real Madrid itu, namun kelibat pemain sayap Perancis itu merupakan petanda dia semakin dekat untuk mengatasi kecederaan hamstring.

Rakaman latihan yang diterbitkan Barca memberi gambaran berbeza berbanding musuh ketat mereka, Real Madrid, selepas Cristiano Ronaldo tidak kelihatan berlatih bersama rakan sepasukannya.

Penggempur handalan itu dilaporkan ditimpa masalah betis dalam final Piala Dunia Kelab, minggu lalu, sehingga mengetepikannya dalam sesi latihan bersama pasukan utama buat hari kedua berturut-turut.

Penjaga gol Barca, Marc-Andre ter Stegen, berkata mereka harus bersedia untuk menghadapi anak buah Zinedine Zidane di Santiago Bernabeu.

"Pertembungan kedua-dua pasukan mungkin adalah yang terbaik dalam LaLiga, bahkan di dunia," kata tonggak Jerman itu kepada El Pais.

"Kami tahu siapa yang bakal dihadapi serta kami sedar kemampuan serangan mereka, termasuk keupayaan mereka secara keseluruhannya.

"Tetapi, (kami mesti berpegang kepada) corak permainan kami sendiri, itulah peluang terbaik untuk kami menang."

 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen