Barca elak berbelanja musim sejuk, Mascherano kekal

Oleh Penulis Jemputan 5 Disember 2017 631
Barca elak berbelanja musim sejuk, Mascherano kekal
Ernesto Valverde tidak bercadang untuk memasuki pasaran perpindahan Januari walaupun pilihan pemain Barcelona di bahagian pertahanan agak terhad. 

Barca akan menyambut Sporting CP dalam aksi Liga Juara-Juara (UCL) pagi esok, dengan tempat mereka dalam Kumpulan D sudah terjamin.

Namun, jaguh LaLiga itu kini tempang berikutan hanya mempunyai Gerard Pique dan Thomas Vermaelen sebagai pilihan senior berikutan kecederaan hamstring yang dialami Samuel Umtiti ketika seri 2-2 dengan Celta Vigo, Sabtu lalu. 

Pemain pertahanan Perancis itu menyertai Javier Mascherano di bilik rawatan -- pemain pertahanan veteran itu baru-baru ini bercakap mengenai masa depannya di Camp Nou yang bakal berakhir. 

Mundo Deportivo melaporkan Mascherano telah meminta untuk berhijrah apabila mengintai peluang ke Liga Super Cina pada Januari depan demi meningkatkan masa permainannya menjelang kempen Piala Dunia 2018.

Bercakap sempena menghadapi Sporting, Valverde berkongsi perancangan perpindahannya serta menegaskan Mascherano kekal sebagai anggota penting skuad Barcelona.

"Jendela perpindahan belum tiba lagi, kita telah bercakap mengenai jendela perpindahan musim sejuk sejak Ogos lalu," kata bekas pengurus Athletic Bilbao itu yang membantah soalan tentang pemain antarabangsa Colombia, Yerry Mina.

"Apabila tiba masanya, kami akan membincangkan mengenai perpindahan musim sejuk. Kami masih bergantung kepada Mascherano. Dia adalah anggota pasukan ini, dia sudah lama komited kepada Barcelona.

"Saya tidak boleh bercakap tentang khabar angin, saya gembira dengan Mascherano, saya mahu dia berada di sini dengan kami, saya tidak bimbang tentang dia."

Barcelona mengumumkan Umtiti akan diketepikan selama lapan minggu akibat kecederaannya itu, namun Valverde mencadangkan pertahanan itu boleh kembali lebih awal.

"Kami perlu memikirkan perkara ini pada bulan ini, namun kecederaan Samuel Umtiti bukan tempoh yang panjang. Pada Januari, dia sepatutnya kembali," katanya.

"Kami mempunyai beberapa masalah kecederaan yang perlu kami fikirkan tetapi kami mempunyai lebih banyak analisis untuk dilakukan (perpindahan) sebelum saya boleh membuat kenyataan rasmi."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen