BARCELONA 2 SPORTING CP 0

Penjaga gawang, Jasper Cillessen, meraih pujian selepas dua aksi menyelamatnya memastikan kemenangan 2-0 Barcelona dalam Liga Juara-Juara (UCL) ke atas Sporting CP, awal pagi tadi.


Cillessen menafikan percubaan pemain gantian Sporting, Bas Dost, selepas Paco Alcacer terlebih dahulu meletakkan Barcelona di depan pada minit ke-59.

Bagi pengurus Barcelona, ​​Ernesto Valverde, aksi itu merupakan titik tolak perlawanan biarpun mereka sudah berjaya melepasi ujian Kumpulan D itu di puncak -- tidak seperti lawan mereka.

Barcelona, ​​yang membariskan Lionel Messi pada babak kedua, dipaksa untuk bekerja keras sepanjang permainan, namun Valverde menolak untuk mengkritik pemainnya.

"Cillessen telah melakukan aksi menyelamat yang luar biasa," kata Valverde kepada wartawan. "Mereka mempunyai kewajipan untuk mencapai kemenangan, mereka menunggu masa yang tepat untuk cuba mengalahkan kami dengan pemain gantian.

"Idea kami adalah untuk menguasai perlawanan dan menjana peluang gol. Pada masa yang sama, jika lawan tidak memberikan peluang kepada kami, kami cuba melakukan yang terbaik.

"Kadang-kadang kami lebih licik, kadang-kadang kurang," katanya.

Persembahan Barcelona buat julung kalinya menerusi gandingan Luis Suarez dan Aleix Vidal gagal memecah kebuntuan perlawanan, sekaligus membuktikan tahap pergantungan mereka kepada Messi dan Valverde mengakui kepentingan kelibatnya sejak dimasukkan pada minit ke-61.

"Kita selalu fikir bahawa dengan adanya Messi perkara akan menjadi lebih baik," kata Valverde.

"Kami sedar Leo melancarkan permainan menyerang kami, malah penyudahnya sangat berkesan selain kemampuannya menguasai dan melicinkan pergerakan serta umpanannya yang tidak diduga."