Lionel Messi mengesahkan keinginannya untuk kekal sebagai pemain satu-kelab bersama Barcelona selepas melanjutkan kontrak bersama gergasi Catalan itu hingga 2021.

Legenda Argentina itu menamatkan spekulasi selepas menandatangani kontrak baru semalam, dengan tawaran termasuk klausa perpindahan yang bernilai EURO700 juta (RM3.4 bilion).

Messi, yang sebelumnya telah dikaitkan dengan penghijrahan ke Manchester City, menegaskan keinginannya untuk mengakhiri karier bersama Barcelona.

Pemenang empat kali Liga Juara-Juara (UCL) yang bakal berusia 34 tahun itu ketika kontrak terbarunya berakhir, berkata dia amat gembira untuk terus beraksi bersama kelab yang disertainya ketika berusia 13 tahun.

"Kami telah menunggu masa yang sangat lama untuk menandatangani kontrak ini dan segala-galanya telah diselesaikan," kata Messi.

"Saya amat gembira kerana masih sebahagian daripada kelab ini. Ini adalah rumah saya.

"Saya sentiasa mahu mengakhiri karier saya di sini. Impian saya adalah untuk mengakhiri karier bersama Barcelona dan kami berada di landasan yang tepat," ujarnya.

Messi dan rakan sepasukannya akan berkunjung ke Valencia bagi menghadapi aksi LaLiga, hari ini.