Kasih seorang bapa membawa Abdul Razak Abdul Wahab merelakan pengorbanan anaknya, Hadi Fayyadh, untuk berkelana ke Jepun demi bola sepak Malaysia.

Hadi, anak bongsu daripada enam adik-beradik, mendapat sokongan padu daripada bapanya, Abdul Razak, serta ibu, Khairul Ashikin Mohd Noor.

Abdul Razak mahu anaknya mendalami ilmu bola sepak Jepun sebaik mungkin tetapi pada masa sama mengekalkan nilai murni yang menjadikan Malaysia istimewa di mata dunia.

"Saya berharap Hadi dapat menimba ilmu dan pengalaman bermain di Jepun untuk dibawa pulang ke Malaysia," kata Abdul Razak.

"Pasukan ini memiliki fasiliti yang lengkap dan ia amat sesuai untuk perkembangan Hadi."

Bagi Hadi pula, kemahuan jangka masa panjang adalah untuk satu hari menyarung jersi kebangsaan bersama skuad senior yang kini dikendalikan Tan Cheng Hoe.

Meskipun bukan perintis Malaysia dalam bola sepak Jepun, Hadi adalah yang pertama menandatangani kontrak profesional bersama kelab Liga J2.

"Saya akan meraih ilmu baru di Jepun dan sedikit-sebanyak ia akan membantu skuad negara pada masa akan datang," kata Hadi.