Tokoh bola sepak Johor, Datuk Suleiman Mohd Noor, menghembuskan nafas terakhirnya malam tadi, demikian pengesahan diumumkan laman Facebook, JOHOR Southern Tigers.

"Kami ingin mengucapkan salam takziah kepada keluarga Allahyarham Datuk Suleiman Mohd Noor, Bapa Bola Sepak Negeri Johor, yang telah meninggal dunia sebentar tadi pada 7 Ogos 2017. Semoga dicucuri rahmat ke atas roh Almarhum. Al-Fatihah."

Suleiman yang meninggal dunia pada usia 88 tahun dianggap sebagai pencetus kebangkitan bola sepak negeri Johor ketika era 80-an dan 90-an.

Allahyarham merupakan bekas Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Negeri Johor (PBNJ) serta pernah menjawat tugas selaku Setiausaha Kerajaan Negeri Johor.

Suleiman juga antara penggerak utama kepada kejayaan skuad bola sepak Johor ketika menjuarai Piala Malaysia pada 1985 selain menjadi pasukan pertama tanah air yang meraih kejuaraan berganda, iaitu Liga Semi-Pro dan Piala Malaysia pada 1991.

"Sebagai penghormatan ke atas jasa beliau, Tunku Mahkota Johor (Tunku Ismail Sultan Ibrahim) telah menitahkan agar nama pusat latihan tertutup milik Kelab Johor Darul Ta'zim dinamakan sempena nama Datuk Suleiman Mohd Noor. Ia simbolik dengan usaha yang dilakukan oleh beliau pada era sebelum ini.

"Pemergian beliau pada 7 Ogos 2017 amat memberi kesan kepada ramai penyokong bola sepak, khususnya pemain-pemain yang pernah bermain untuk negeri Johor," tambah kenyataan itu.