Balotelli kecam ejekan perkauman selepas insiden di Verona

Oleh Penulis Jemputan 7 November 2019 75
Balotelli kecam ejekan perkauman selepas insiden di Verona
Penyerang Brescia, Mario Balotelli, mengkritik pihak yang disifatkan sebagai bodoh selepas mengejeknya menggunakan elemen perkauman dalam aksi Serie A, hujung minggu lalu tetapi menegaskan dia tidak berdendam dengan Hellas Verona.

Balotelli menendang bola ke bangku penonton dan mengugut untuk meninggalkan padang selepas menjadi sasaran ejekan monyet ketika aksi Serie A di Stadio Marcantonio Bentegodi, Ahad lalu.

Pengadil menghentikan perlawanan dan mengikut protokol berdasarkan kenyataan yang dikeluarkan menerusi sistem pengumuman khalayak ramai tatkala pemain daripada kedua-dua pasukan cuba memujuk Balotelli untuk meneruskan permainan.

Susulan insiden itu, Serie A telah bertindak mengarahkan satu perlawanan diadakan secara tertutup sambil Verona menggantung ketua kumpulan penyokong fanatik selama 11 tahun walaupun pengendali, Ivan Juric, mendakwa tiada sebarang ejekan perkauman berlaku.

Namun, Balotelli bertindak menyuarakan kemarahannya kepada individu yang bertanggungjawab di atas ejekan itu.

"Saya tidak mencela Verona atau penyokong mereka tetapi berang dengan kelompok bodoh yang melakukannya. Saya dengar dengan diri saya sendiri," kata Balotelli.

"Bukan satu atau dua kerana saya mendengarnya dari dalam padang. Jika saya tidak menunjukkan sebarang reaksi, tiada apa akan berlakku. Ia bukan satu kesilapan tetapi merupakan perkara yang serius.

"Saya memberitahu perkara sebenar. Stadium dan penyokong Verona begitu baik dengan saya, dengan gurauan mereka tetapi jika anda mahu mengganggu perhatian pemain, anda boleh lakukannya dengan beribu cara. Bukan begini. Ini tidak bagus."

Balotelli -- yang menjaringkan gol tunggal Brescia ketika pasukannya tewas 2-1 -- berkata layanan yang diterima sangat menyakitkan memandangkan anak perempuannya menonton perlawanan itu menerusi televisyen.

"Ia menjadikannya tiga kali ganda lebih teruk," tambahnya.

"Dia sendiri pernah melaluinya. Anda tidak boleh memalukan orang dewasa dengan perkataan sebegitu. Pendidikan dan hormat datang daripada kami sebagai orang dewasa.

"Saya tidak katakan saya berbeza jika dibandingkan dengan pemain lain yang turut menerima ejekan sama tetapi masalah sebenar adalah saya warga Itali dan mahu kembali dalam pasukan kebangsaan."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen