Pengendali Atletico Madrid, Diego Simeone, yakin Antoine Griezmann tidak akan terganggu dengan keinginannya untuk memenangi anugerah Ballon d'Or.

Griezmann menjadi salah satu pilihan bersama Luka Modric, Cristiano Ronaldo dan Kylian Mbappe untuk meraih anugerah individu paling berprestij itu.

Penggempur itu menikmati tahun cemerlang setelah menjulang trofi Liga Europa dan Piala Super Eropah bersama Atletico selain menjuarai Piala Dunia 2018 bersama Perancis.

Griezmann mendedahkan rahsianya ingin memenangi anugerah itu dan Simeone percaya penyerang Perancis itu layak meraihnya berdasarkan pencapaian tahun ini sambil tidak menafikan tahap bintangnya itu.

"Saya tidak rasa dia akan hilang fokus. Apa yang dilakukan sebelum ini sudah berlalu. Dia memenangi Liga Europa, Piala Super Eropah dan Piala Dunia," kata Simeone.

"Griezmann juga merupakan naib juara LaLiga, berdepan dua pasukan terbaik dunia, Barcelona dan Real Madrid. Musim lalu, tidak syak lagi Griezmann adalah pemain terbaik dunia."

Atletico hanya ketinggalan satu mata di belakang pendahulu LaLiga ketika ini, Sevilla, selepas menghimpun 15 mata daripada lapan perlawanan.

Mereka berkongsi mata dengan juara bertahan, Barcelona, dan melebihi satu mata berbanding Real Madrid tatkala masa depan pengendali kedua-dua pasukan itu, Ernesto Valverde dan Julen Lopetegui, menjadi persoalan.

Simeone cuba mengelak kritikan yang diterima pengurus seteru mereka tetapi pengenali dari Argentina itu tidak bersetuju dengan cara tersebut sambil mendedahkan dia berada dalam tekanan selepas tewas di tangan Celta Vigo, September lalu.

"Anda yang menulis dan saya tidak bersetuju dengan kenyataan anda. Kami semua terdedah dan bergantung kepada keputusan," ujar Simeone kepada wartawan.

"Pasukan yang anda namakan adalah skuad yang besar dan pengurus memainkan peranan dalam mendapatkan keputusan. Kami cuba untuk mendapatkan keputusan positif tetapi apabila gagal, kami dikritik.

"Selepas aksi bertemu Celta Vigo, kami dikritik dan musim lalu saya dikatakan tidak sehaluan dengan pasukan.

"Kritikan sering berlaku apabila anda tidak menang walaupun jika anda mengawal perlawanan."