Lionel Messi ternyata berhak untuk memenangi Ballon d'Or di sebalik penampilan mengagumkan Virgil van Dijk, menurut rakan sepasukannya di Barcelona, ​​Frenkie de Jong.

Pertahanan tengah Liverpool berkenaan dianggap sebagai pilihan untuk meraih anugerah berprestij individu itu setelah membantu The Reds untuk mendakap trofi Liga Juara-Juara (UCL) musim lalu.

Van Dijk turut mempamerkan aksi hebat bersama Liverpool musim ini -- yang terlepas gelaran Liga Perdana Inggeris (EPL) 2018-19 kepada Manchester City -- dengan memiliki kelebihan lapan mata di puncak liga.

Bagaimanapun, semalam, Mundo Deportivo melaporkan bahawa Messi telah dimaklumkan bahawa dia akan mengungguli Ballon d'Or buat kali keenam, yang bermaksud dia sekali lagi mengetepikan Van Dijk susulan ditabalkan sebagai Pemain Terbaik FIFA.

De Jong tidak sangsi lagi bahawa Messi memang berhak meraih pengiktirafan itu.

"Bagi saya, saya sering mengatakan bahawa Messi adalah pemain terbaik dunia, jadi dia harus menang," katanya.

"Van Dijk mengharungi musim yang hebat, dia adalah pertahanan mantap dan salah seorang pemain terbaik di dunia.

"Tetapi Messi mengatasinya dan dia adalah yang terbaik."

Pemain tengah itu melengkapkan perpindahannya ke Camp Nou daripada Ajax, Julai lalu dan menyerlah tatkala Barca gagal menjelmakan persembahan yang meyakinkan walaupun menguasai kedudukan teratas LaLiga dan Kumpulan F, UCL.

Pemain Belanda berkenaan sedar pasukannya mampu mempamerkan persembahan yang lebih tekal tetapi sedang menikmati kehidupan menarik di Catalonia menjelang kunjungan Borussia Dortmund bagi aksi Eropah itu.

"Saya sangat gembira untuk berada di sini dan ini adalah apa saya impikan. Sudah tentu kami boleh bermain dengan lebih baik lagi, kami bekerja keras seperti yang diharapkan dan semoga semua orang dapat menyaksikannya (awal pagi esok) bahawa kami sedang bertambah baik," kata De Jong.

"Kami boleh bermain lebih baik lagi, saya fikir kami memiliki pasukan yang hebat, kebanyakannya adalah pemain terbaik di dunia.

"Jadi, kami sedar bahawa kami boleh melakukannya dengan lebih baik lagi tetapi kami sedang meraih kemenangan, berada di tempat pertama dalam kumpulan yang paling sukar dalam kejohanan ini. Kami bukanlah bermain dengan amat buruk tetapi tentu saja kami boleh melakukannya dengan lebih baik lagi.

"Kami tahu bahawa kami masih boleh memperbaiki prestasi, kami sering membincangkannya, kami banyak berlatih. Tiada satu pun perlawanan yang menyaksikan ada pasukan yang tidak membuat sebarang kesilapan, jadi adalah normal untuk membuat kesilapan. Kami tidak bermain dengan teruk seperti yang orang fikirkan."

Barisan kendalian Ernesto Valverde itu belum lagi dapat mengesahkan tempat di peringkat kalah mati, namun kemenangan ke atas Dortmund akan menjamin tiket mereka.

"Kami tahu ia benar-benar penting, jika kami menang, kami akan layak, kami kini memimpin kumpulan ini," katanya lagi.

"Ia sangat penting bagi kami, kelayakan ke peringkat seterusnya adalah perkara yang paling penting."