Tiada Anugerah Ballon d'Or bagi 2020 berhubung "syarat adil yang tidak mencukupi", demikian pengumuman dibuat France Football sebentar tadi.

Penerbitan Perancis itu, yang menganjurkan anugerah individu paling berprestij bola sepak, percaya kesan wabak COVID-19 di peringkat elit sukan bermakna adalah tidak adil untuk mengisytiharkan pemenang bagi musim 2020.

Atas alasan itu, Football Perancis enggan menjejaskan prestij trofi itu berikutan keadaan ketika ini sambil menambah: "Kami lebih cenderung memilih kecederaan ringan (dalam sejarah kami) daripada parut yang besar".

Sehubungan itu, buat pertama kalinya undian Ballon d'Or -- yang dilancarkan sejak 1956 bagi memutuskan pemain terbaik di dunia -- tidak akan diadakan.

Bintang Barcelona, Lionel Messi, ditabalkan pemenang buat kali keenam pada 2019 sementara penyerang Amerika Syarikat, Megan Rapinoe, diangkat sebagai juara wanita.

Perlawanan bola sepak di seluruh dunia ditangguhkan pada Mac lalu susulan pandemik itu merebak dengan pantas.

Walaupun Liga Perdana Inggeris, LaLiga, Serie A dan Bundesliga sudah kembali menyambung baki saingan di gelanggang tertutup, Ligue 1 muncul salah satu kejohanan yang ditamatkan lebih awal.

"Tahun ini tidak boleh -- dan tidak seharusnya -- dinilai sebagai tahun yang biasa. Apabila timbul keraguan, adalah lebih baik menjauhkan diri daripada meneruskannya," kata France Football.

"Keadilan dalam memburu penghormatan ini tidak dapat diteruskan, terutama dalam aspek statistik dan juga daripada segi persiapan kerana semua calon yang berhak mendapat penghargaan ini tidak berada di kedudukan yang sama.

"Ada saingan yang ditamatkan secara radikal sementara yang lain tidak. Jadi bagaimana kami dapat mencari perbezaan terhadap apa yang tidak boleh dibandingkan? "

Kenyataan itu menyimpulkan: "Ballon d'Or terlalu berharga untuk risikonya dipertaruhkan, ia boleh menjejaskan prestijnya ekoran pendekatannya yang sukar.

"Dalam situasi bergolak ini, berehat merupakan satu kemewahan dan keperluan yang tidak ternilai. Jadi bola sepak, secara keseluruhannya, boleh mendapatkan semula momentum, semangat serta emosinya."