Gareth Bale berkata Wales tidak gentar dengan kehilangan pemain utama, Joe Allen dan Aaron Ramsey, untuk perlawanan kelayakan Piala Dunia 2018 bertemu Georgia.

Allen terpaksa meninggalkan padang selepas mengalami kecederaan hamstring pada babak kedua perlawanandengan Austria yang berkesudahan seri 2-2.

Kecederaan yang sama turut menghantui pemain tengah Arsenal, Ramsey, yang terlepas dua aksi Kumpulan D.

Tetapi Bale tetap yakin bahawa skuad kendalian Chris Coleman mampu menghadapi perlawanan akan datang tanpa kelibat dua pemain utama itu walaupun tekanan kini terletak padanya.

"Allen adalah pemain yang penting buat kami dan ketiadaannya akan dirindui seluruh pasukan," jelas Bale.

"Tetapi seperti yang kami beritahu sebelum ini, ia memberikan peluang kepada pemain lain untuk mengisi kekosongan dan berpeluang untuk membuktikan kebolehan yang mereka miliki.

"Tiada lagi tumpuan kepada saya. Ia masih sama. Kami bermain sebagai satu pasukan, kami harus sentiasa bekerja keras, tidak mengira siapa pemain yang mengalami kecederaan."

Pemain Wolverhampton, David Edwards, dilihat bakal mengisi kekosongan yang ditinggalkan Allen manakala pemain Leicester City, Andy King, ditugaskan untuk menggantikan Ramsey.