Bale perlu buat perubahan -- Giggs

Oleh Penulis Jemputan 5 Oktober 2017 2710
Bale perlu buat perubahan -- Giggs
Ryan Giggs menasihatkan rakan senegaranya, Gareth Bale, agar membuat perubahan segera apabila terus bergelut dengan kecederaan.

Bintang Real Madrid, Bale, hanya membuat 19 penampilan dalam La Liga selepas kecederaan  mengganggu musimnya pada 2016-17, dan hanya bermain 23 perlawanan pada musim sebelumnya.

Kini, masalah kecederaan betis yang dialami dalam perlawanan menentang Borussia Dortmund minggu lalu telah memaksanya berehat untuk aksi penting Wales menentang Georgia dan Republik Ireland dalam kelayakan Piala Dunia, Sabtu dan Selasa ini.

Bekas pemain antarabangsa Wales, Giggs, terpaksa membuat perubahan besar bagi memastikan kerjayanya di Manchester United bertahan sehingga hari ulang tahun ke-40 dan dia percaya Bale harus melakukan perkara sama.

Giggs memberitahu Sky Sports: "Apabila anda melihat Bale dan spesimen fizikalnya, dia sentiasa meletakkan badannya di bawah tekanan, terutama terhadap asakan daripada pemain lain.

"Dengan kecederaan yang diterima dan pada peringkat kerjayanya, ini adalah masanya untuk anda mula memberi perhatian.

"Apabila sampai pada lewat 20-an, ia adalah masa untuk anda membuat perubahan.

"Semua orang berbeza dan saya melakukan yoga, akupunktur, mandi ais, tetapi ia mungkin berfungsi untuk sesetengah pemain dan mungkin tidak bagi pemain lain.

"Anda juga harus menyesuaikan permainan. Anda tidak boleh bermain seperti anda berusia 19 tahun. Permainan saya pada lewat 20-an lebih efektif walaupun tidak begitu cepat."

Wales berada di tempat kedua dalam Kumpulan D dengan empat mata di belakang pendahulu, Serbia, dan satu mata di depan Republik Ireland.

Giggs berkata: "Bale yang diketepikan daripada kelayakan Piala Dunia adalah satu kejutan besar kerana jika anda bersiap untuk bermain menentang Wales, perkara pertama yang anda fikirkan ialah bagaimana untuk mengekang Bale.

"Mereka masih boleh mendapatkan keputusan untuk layak ke Piala Dunia tetapi mereka perlu bermain dengan cara sedikit berbeza kerana tidak ada pemain yang boleh membawa ke hadapan seperti Bale lakukan.

"Sam Vokes boleh digunakan sebagai penyerang dan masih banyak kualiti seperti Joe Allen, Ben Davies dan Aaron Ramsey. Mereka akan menjadi pemain penting kepada pasukan.

"Sudah tentu, anda kehilangan pemain bertaraf dunia tetapi kadang-kadang ia dapat membuatkan pemain bersatu dan ia juga bukan kali pertama mereka berjaya tanpanya."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen