Bale, Modric terlepas kunjungan ke Galatasaray

Oleh Staff Writer 21 Oktober 2019 66
Bale, Modric terlepas kunjungan ke Galatasaray
Zinedine Zidane tidak menyenaraikan Gareth Bale dan Luka Modric dalam skuad Real Madrid menjelang kunjungan ke Galatasaray dalam Liga Juara-Juara Eropah selepas kedua-dua pemain itu mengalami kecederaan sewaktu bersama pasukan kebangsaan masing-masing.

Selepas menjaringkan gol ketika Wales mengikat Croatia 1-1 di Cardiff, Bale meninggalkan padang dengan terhincut-hincut sebelum disahkan mengalami kekejangan otot.

Modric pula terpaksa dikeluarkan selepas mengalami bengkak di paha kanan.

Turut dipinggirkan ialah penyerang yang tidak mendapat tempat musim ini, Mariano Diaz, dan Lucas Vazquez yang mengalami kecederaan betis.

Dalam perlawanan Kumpulan A di Istanbul awal pagi lusa, Madrid memerlukan kemenangan untuk membuka peluang layak ke pusingan berikutnya.

Los Blancos tewas 0-3 kepada Paris Saint-Germain (PSG) dalam perlawanan pembukaan sebelum terikat 2-2 dengan Club Brugge di Santiago Bernabeu untuk menduduki tangga tercorot Kumpulan A.

Perlawanan itu juga dapat dijadikan medan kebangkitan buat skuad kendalian Zidane itu selepas tewas 0-1 kepada Mallorca dalam LaLiga semalam.

Selain itu, Toni Kroos, Eden Hazard dan Dani Carvajal akan kembali menguatkan pasukan.

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen