Bintang Real Madrid, Gareth Bale, masih melihat dirinya sebagai peminat Tottenham Hotspur dan kecewa bekas pasukannya itu tewas dalam final Liga Juara-Juara Eropah musim lalu.

Penggempur Wales, Bale, meninggalkan Spurs untuk ke Santiago Bernabeu menerusi yuran berjumlah GBP86 juta (RM461 juta) pada September 2013 sebelum empat kali menjulang trofi Liga Juara-Juara serta satu trofi LaLiga dan Piala Raja Sepanyol.

Dia melalui perhubungan tegang dengan ketua jurulatih, Zinedine Zidane, dan sering dikaitkan dengan jalan keluar selepas peprindahan ke kelab Liga Super China, Jiangsu Suning, gagal dimeterai pada Julai lalu.

Jalan pulang ke Spurs sering dikaitkan dengannya dan Bale jelas masih menyayangi kelab yang diwakili dari 2007 sehingga 2013 itu, mendedahkan kekecewaannya selepas Tottenham tewas di tangan Liverpool dalam final Liga Juara-Juara.

"Semua orang suka menonton final Liga Juara-Juara dan jelas sekali saya berminat melihat aksi Spurs. Saya harap mereka ke final dan ia berlaku," katanya.

"Mereka mengharungi beberapa aksi hebat termasuk separuh akhir menentang Ajax.

"Bagi kami sebagai peminat Spurs, ia mengecewakan tetapi anda perlu melihat kepada aspek lebih besar. Mereka tampil hebat untuk mara ke pentas itu."

Bale mengharungi beberapa detik hebat dalam Liga Juara-Juara, termasuk menjulang trofi di Cardiff dan meledakkan sepakan gunting menentang Liverpool dalam aksi final 2018 di Kiev.