Bintang Wales dan Real Madrid, Gareth Bale, dijangka menerima bayaran GBP750,000 (RM3.8 juta) seminggu setelah ditawarkan kontrak lima tahun oleh kelab gergasi Sepanyol itu.

Bakal meletakkan dirinya seangkatan dengan Cristiano Ronaldo, Real turut meletakkan klausa penebusan yang mencecah GBP500 juta ((RM2.5 bilion) bagi memadam hasrat Manchester United yang dilaporkan berminat mendapatkan khidmatnya.

Bale telah dikaitkan dengan perpindahan ke Old Trafford dengan Jose Mourinho dikhabarkan bersedia membuat bidaan mencecah GBP100 juta.

Bagaimanapun, dengan klausa penebusan bernilai GBP500 juta (RM2.5 bilion), hasrat United dijangka terkubur.

Pemain berusia 27 tahun itu memulakan musim keempat di Santiago Bernabeu dengan cemerlang setakat ini, menyumbang tiga gol dan empat bantuan jaringan dalam enam penampilan La Liga.

Kejayaan Bale untuk menyesuaikan diri dengan cepat bersama Real Madrid turut mendapat pujian bekas pengendali Real Madrid dan Wales, John Toshack.

"Bale akan diangkat sebagai ketua pasukan dalam masa beberapa tahun akan datang.

"Saya percaya Bale akan merangkul anugerah Ballon d'Or suatu hari nanti," katanya.

Toschak, yang memberi peluang kepada Bale untuk membuat penampilan pertamanya bersama Wales pada usia 17 tahun mengakui dia menjangkakan pemain itu untuk meraih pencapaian tertinggi dalam kariernya.

"Dia berbeza dengan pemain lain pada usia itu. Kini, dia seorang pemain yang cukup profesional. Dia tahu apa yang perlu dilakukan.

"Ketua yang baik tidak perlu memekik sepanjang masa di atas padang. Terdapat cara lain untuk memberi motivasi kepada pemain lain, kerana itulah dia dilantik selaku kapten Wales."

Selain Bale, Ronaldo turut dijangka menandatangani kontrak baharu bersama Real.