Zinedine Zidane menolak untuk mengesahkan pemainnya, Gareth Bale dan Daniel Carvajal, akan kembali beraksi dalam perlawanan Liga Juara-Juara Eropah (UCL) menentang Tottenham Hotspur, 1 November ini.

Bale diketepikan sejak sebulan lalu selepas mengalami kecederaan betis ketika membantu skuad Los Blancos menewaskan Borussia Dortmund, dalam perlawanan yang menyaksikan bintang Wales itu menjaringkan satu gol menerusi sepakan voli.

Sementara itu, Carvajal yang telah berehat lebih lama akibat jangkitan pada hati bulan lalu turut masih belum pasti untuk diturunkan walaupun kedua-dua pemain tersebut dilihat sudah kembali menyertai sesi latihan bagi menghadapi aksi Copa Del Rey menentang Fuenlabrada, esok.

“Carvajal semakin baik. Dia telah menjalani proses imbasan dan segala-galanya positif.

“Hari ini, dia telah mula menaiki basikal tetapi proses pemulihannya akan mengambil masa. Bagaimanapun, dia kini sihat dan saya gembira dengan perkembangan itu.

“Mengenai Bale, dia telah mula berlatih di padang tetapi saya tidak boleh mengesahkan tarikh untuknya kembali beraksi,” kata Zidane.

Madrid akan bertandang ke Stadium Wembley untuk menghadapi aksi keempat Kumpulan H bertemu Spurs pada 1 November, namun terlebih dahulu akan menentang pasukan yang terlibat dengan isu kemerdekaan Catalonia, Girona, dalam aksi LaLiga, Ahad ini.

Zidane juga menolak untuk berbicara mengenai perkara itu walaupun bekas pengendali Barcelona, Pep Guardiola, lantang memberikan pendapat mengenai isu yang turut melibatkan Barca.

“Kami hanya mahu bermain bola sepak dan hanya melakukan persiapan untuk perlawanan menentang Girona kerana kami tahu akan ada pihak keselamatan yang mengawal keadaan.

“Jurulatih lain mungkin boleh bercakap tentangnya tetapi saya ingin memikirkan tentang bola sepak sahaja,” tambah Zidane.