Pengendali Real Madrid, Zinedine Zidane, mengesahkan Gareth Bale dikeluarkan dalam kemenangan 2-1 ke atas Bayern Munich gara-gara kecederaan.

Pemain antarabangsa Wales itu dikeluarkan pada minit ke-59 dalam aksi suku akhir pertama Liga Juara-Juara di Allianz Arena, awal pagi tadi.

Zidane kemudiannya mendedahkan Bale, yang baru sahaja kembali daripada kecederaan jangka panjang Februari lalu, tidak berada dalam keadaan yang baik, lantas digantikan dengan Marco Asensio ketika masa rehat.

"Gareth Bale berasa kurang selesa memasuki masa rehat, jadi saya enggan mengambil sebarang risiko," kata Zidane.

"Kami mengharapkan kecederaannya tidak serius. Bagaimanapun, saya gembira dengan pertukaran tersebut kerana Asensio memberikan persembahan terbaik."

Asensio menghasilkan sumbangan berharga apabila hantarannya berjaya menemui Cristiano Ronaldo untuk menyumbat gol kedua.

Bale dilaporkan memberitahu pihak media bahawa kecederaan dialaminya tidak serius ketika dikeluarkan.

Pemain berusia 27 tahun itu dijangka akan menjalani rawatan di Sepanyol menjelang aksi LaLiga berdepan Sporting Gijon, Sabtu ini, sebelum menerima kunjungan Bayern bagi aksi suku akhir kedua.

Zidane hampir pasti memerlukan kesebelasan terbaiknya apabila bakal berdepan Barcelona dalam saingan El Clasico selepas itu.