Penyerang tonggak Villareal, Cedric Bakambu, mendedahkan kelab gergasi Perancis, Paris Saint-Germain, telah menyatakan minat hujung musim lalu, namun dia menolak atas alasan enggan menjadi pemain sokongan kepada Edinson Cavani.

Susulan kehilangan khidmat Zlatan Ibrahimovic yang berhijrah ke Manchester United selepas kontraknya berakhir Jun lalu, PSG mula mencari pemain sesuai yang akan membantu Cavani di bahagian serangan.

PSG mengorak langkah dengan membawa masuk pemain sayap Real Madrid, Jese Rodriguez, namun menurut Bakambu, juara Ligue 1 itu turut menawarkan tempat di Parc des Princes selepas penyerang DR Congo itu menyumbang 22 gol dalam 50 penampilan bersama The Yellow Submarine musim lalu.

Bagaimanapun, Bakambu menegaskan dia tidak berminat untuk berhijrah.

"Saya telah dihubungi PSG dan mereka telah membuat tawaran dengan saya akan memainkan peranan selaku pemain sokongan kepada Cavani.

"PSG memiliki jentera serangan yang mantap, jadi atas alasan itu saya menolak kerana saya tahu saya tidak akan mendapat tempat."