Bailly pertahan prestasi Lukaku

Oleh Penulis Jemputan 31 Oktober 2017 232
Bailly pertahan prestasi Lukaku
Bintang Manchester United, Romelu Lukaku, adalah penyerang hebat yang akan kekal memberikan persembahan baik, demikian kata rakan sepasukannya, Eric Bailly.

Lukaku, 24, membuat permulaan baik di United dengan merekodkan 10 gol dalam 10 penampilan pertama untuk kelab itu sejak menyertai dari Everton dengan yuran perpindahan £75 juta (RM420 juta).

Tetapi dia gagal menjaringkan gol dalam lima perlawanan terakhir United hingga menimbulkan kritikan daripada peminat.

Menjelang pertembungan pasukannya dengan Benfica dalam Liga Juara-Juara di Old Trafford esok, Bailly melontarkan pujian terhadap penyerang Belgium itu.

"Romelu adalah penyerang yang hebat. Saya pernah menentangnya tetapi sekarang saya bernasib baik kerana bermain bersamanya," katanya.

"Dia sangat penting untuk kami dan semua orang lihat bagaimana segala-galanya berlaku kepadanya. Saya harap dia dapat terus menjaringkan gol dan membantu kami," ujarnya.

United salah sebuah daripada lima kelab Inggeris yang bersaing dalam peringkat kumpulan Liga Juara-Juara.

Bailly berkata: "Liga Perdana adalah salah satu liga terbaik dengan banyak pasukan bagus dan kami mendapat hasil yang baik.

"Tetapi kami perlu memberi tumpuan kepada diri sendiri dan terus mara. Kami bermain dengan baik dan memenangi banyak perlawanan."
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen