Dua tonggak Kedah, Baddrol Bakhtiar dan Rizal Ghazali, mahu menjadikan kejayaan merangkul Piala Malaysia 2016 sebagai motivasi dan pemangkin semangat untuk membantu skuad negara bersaing hebat dalam Kejohanan Piala AFF Suzuki 2016, 19 November hingga 17 Disember ini.

Baddrol dan Rizal antara pemain negara yang berada dalam momentum paling baik ketika ini, susulan kejayaan pasukannya menjuarai Piala Malaysia 2016 dengan menundukkan Selangor pada perlawanan akhir tempoh hari.

Malah, kedua-dua pemain itu turut cemerlang sebagai tunjang utama kemenangan Kedah, terutama Rizal yang muncul pemain terbaik perlawanan.

Meskipun masih kepenatan dengan sambutan kejuaraan, Baddrol dan Rizal mengakui semangat mereka tetap membara untuk menghadapi kejohanan itu.

"Kemenangan Piala Malaysia tempoh hari memberikan motivasi kepada kami untuk menghasilkan kemenangan bersama skuad negara. Saya akan memberikan tumpuan yang sepenuhnya dalam sesi latihan untuk mempertingkatkan lagi permainan saya,” kata Baddrol.

“Saya kini dapat memberikan tumpuan sepenuhnya kepada perlawanan antarabangsa selepas tamat aksi Liga Malaysia untuk musim ini,” ujar Rizal.

Rizal, Baddrol dan dua lagi pemain Kedah, Syazwan Zainon dan Khairul Helmi Johari, adalah empat pemain dari skuad Hijau Kuning yang melaporkan diri bersama skuad kebangsaan.

Mereka bersama 22 pemain lain menjalani kem motivasi di Port Dickson, Negeri Sembilan selama tiga hari bermula hari ini sebelum menyambung latihan pada Sabtu ini.

Mengulas mengenai kem tersebut, Baddrol berkata: "Dengan kem selama tiga hari di Port Dickson, saya dan rakan sepasukannya dapat mempertingkatkan lagi tahap kecergasan serta kekuatan mental kami."

Skuad negara kini dalam persiapan untuk perlawanan pembuka tirai Piala AFF Suzuki 2016 berdepan Kemboja pada 20 November.

Sebelum itu, Malaysia akan berdepan Papua New Guinea dalam perlawanan pemanas badan di Stadium Shah Alam, 14 November ini.

Aksi persahabatan menentang Papua New Guinea akan berlangsung pada jam 3 petang dan ia disiarkan secara langsung di Astro Arena 801 dan 802 HD.