Walaupun musim ini menyaksikan Johor Darul Ta'zim (JDT) mempertahankan kejuaraan Liga Super dan Piala FA, rata-rata pemerhati melihat tonggak Kedah, Baddrol Bakhtiar, dan penyerang Selangor, Ahmad Hazwan Bakri, sebagai antara pemain tempatan yang menonjol sepanjang musim.

Aksi konsisten Baddrol yang memiliki kemampuan untuk beraksi sebagai pemain sayap kanan dan tengah turut membantu Kedah meraih kejuaraan Piala Malaysia musim ini.

“Baddrol dilihat sebagai pemain terbaik tempatan tahun ini kerana prestasi yang konsisten sepanjang musim ini,” kata bekas pemain Selangor, Asmawi Bakiri.

Jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, turut senada terhadap prestasi Baddrol dan optimis gandingan tonggak Lang Merah itu bersama Hazwan bakal menjadi tunjang kekuatan skuad negara dalam Piala AFF Suzuki dari 19 November hingga 17 Disember ini.

Seperti Baddrol, Hazwan turut beraksi di beberapa posisi berbeza yang membolehkannya menjadi aset buat skuad kebangsaan dan Selangor.

“Penyerang-penyerang perlu memiliki keinginan untuk bersaing. Hazwan telah membuktikan dia bersaing dengan pemain-pemain import untuk menjadi salah seorang penyerang yang berbisa,” jelas Kim Swee.

Potensi Hazwan cukup menyerlah sekalipun perjalanan masih jauh buat penyerang berusia 25 tahun itu, yang sudah meledak 48 gol dalam 101 penampilan.

Pengalaman serta kemahiran yang dimiliki Baddrol pula menjadikan kelibatnya sering menjadi taruhan, malah pernah tersenarai selaku calon kapten untuk membimbing skuad kebangsaan September lalu.

Kedah menjulang Piala Malaysia 2016 selepas menewaskan Selangor 6-5 menerusi tendangan penalti, selepas terikat 1-1 dalam waktu sebenar di Stadium Shah Alam, kelmarin.