Ketua jurulatih negara, Nelo Vingada, membuat rombakan pada saat-saat akhir dengan mengetepikan Baddrol Bakhtiar, Darren Lok dan Junior Eldstal sebelum terbang ke Thailand esok bagi menghadapi kelayakan Piala Asia 2019.

Eldstal, yang sebelum ini berada dalam senarai awal 24 pemain, tiada dalam senarai akhir Vingada selain Darren dan Baddrol yang digugurkan akibat mengalami kecederaan.

Vingada, bagaimanapun, menyenaraikan dua muka baru, Ahmad Khairil Anuar Zamri dari Perak dan pemain sayap Felda United, Hadin Azman, dengan jumlah keseluruhan 23 pemain bagi menghadapi Korea Utara di Buriram, Thailand pada Jumaat dan Isnin depan.

Ini merupakan kali pertama Khairil atau sinonim dengan panggilan Beto mendapat panggilan skuad kebangsaan pada peringkat senior.

Kehadiran Beto menjadikan lima pemain Perak secara keseluruhan di dalam skuad bersama Amirul Azhan Aznan, Nazirul Naim Che Hashim, Hafizul Hakim dan Shahrom Kalam.

Sementara itu, Hadin kali terakhir dipanggil pada 9 Mac lalu ketika skuad Harimau Malaya -- di bawah bimbingan Datuk Ong Kim Swee -- menghadapi Filipina dalam perlawanan persahabatan.

Pengguguran Baddrol bermakna hanya Syafiq Ahmad pemain tunggal daripada naib juara Piala Malaysia 2017, Kedah, di dalam skuad negara.

Jika mahu meneruskan misi ke Piala Asia 2019, skuad negara perlu mengutip enam mata maksimum dalam dua perlawanan menentang Korea Utara di Stadium I-Mobile.

Senarai 23 pemain: