Markus Babbel memuji Cristiano Ronaldo yang meninggalkan Real Madrid untuk ke Juventus sambil mengkritik prestasi pemain-pemain Bayern Munich.

Pemenang lima kali Ballon d'Or, Ronaldo, mencipta sensasi Julai lalu apabila meninggalkan juara Eropah, Real Madrid, untuk ke Itali menerusi perpindahan bernilai EUR112 juta (RM534 juta).

Ronaldo -- yang memegang status penjaring terbanyak sepanjang zaman Madrid -- meninggalkan gergasi LaLiga itu setelah menjulang trofi Liga Juara-Juara Eropah tiga kali berturut-turut, melengkapkan empat kejayaan dalam masa lima musim, sehingga menerima pujian bekas tonggak Bayern, Babbel.

Dalam masa sama, Babbel mempersoalkan keinginan dan disiplin yang dipamerkan skuad Bayern ketika ini susulan prestasi longlai sehingga melalui empat kekalahan berturut-turut dan pemenang tiga kali Bundesliga itu menjadikan Ronaldo sebagai contoh terbaik untuk semua pemain.

"Satu pujian buat Ronaldo. Pada usia 33 tahun, dia tidak mahu kekal di Madrid dan berhijrah mendapatkan cabaran baru. Dia mahu melakukan sesuatu yang berbeza untuk mengekalkan prestasinya," kata Babbel.

"Dia melakukan tindakan bijak untuk ke Itali. Semestinya ia liga yang berbeza, terutama untuk penyerang.

"Ronaldo bukan pemain kegemaran saya tetapi dia berada di tahap terbaik."

Ronaldo telah menjaringkan empat gol di pentas Serie A sejak tiba di Turin musim panas lalu.