Ole Gunnar Solskjaer berpendapat aksi dalam separuh masa pertama yang ditampilkan Manchester United ketika menentang Manchester City awal pagi tadi merupakan persembahan terburuk pasukan itu musim ini.

City mendominasi aksi pertama separuh akhir Piala EFL di Old Trafford tatkala Bernardo Silva dan Riyad Mahrez memberikan pendahuluan sebelum Andreas Pereira menyumbat gol sendiri.

Marcus Rashford meledakkan gol saguhati buat The Red Devils untuk menyalakan harapan kebangkitan menjelang aksi kedua di Etihad, 29 Januari ini.

Solskjaer tidak gembira dengan corak persembahan anak buahnya dalam babak pertama terutama selepas Silva meledakkan gol pembukaan pada minit ke-17.

"Sejak gol pertama sehingga rehat, ia persembahan terburuk kami," katanya.

"Sebelum itu, ia boleh jadi cerita berbeza tetapi kini ia tidak memberi apa-apa makna.

"Kami harus fokus dengan aksi Sabtu ini menentang Norwich City. Dalam babak kedua, kami membuktikan keinginan sebenar."

Solskjaer berkata pesanannya kepada pemain jelas selepas ketinggalan 3-0 ketika rehat.

"Maruah adalah satu perkataan yang anda sebutkan ketika rehat," tambahnya.

"Pastikan anda memenangi separuh masa kedua dan sudah tentu ia sukar dengan apa yang kami hadapi.

"Namun, sekurang-kurangnya dalam babak kedua kami memiliki sesuatu yang boleh dibanggakan."


Editor: Nafis Abdullah