Babak indah UCL kini bermula - Ronaldo sedia hadapi peringkat kalah mati 

Oleh Staff Writer 13 Disember 2018 1274
 Babak indah UCL kini bermula - Ronaldo sedia hadapi peringkat kalah mati 
Cristiano Ronaldo teruja untuk menikmati "babak indah" dalam Liga Juara-Juara (UCL) dan yakin Juventus akan bersedia untuk mengharungi pusingan 16 di sebalik kekalahan mereka kepada Young Boys.

Jaguh Itali, Juventus, tumbang 1-2 kepada Young Boys tetapi masih layak ke pusingan kalah mati sebagai pemenang Kumpulan H di hadapan Manchester United.

Setelah melayakkan diri ke pusingan 16 sebelum sepak mula perlawanan, Juve dihukum oleh dua jaringan Guillaume Hoarau untuk menempa kekalahan sulung di tempat lawan musim ini.

Bagaimanapun, Ronaldo yang meraih tiga gelaran UCL sebelum meninggalkan Real Madrid musim lalu tetap teruja selepas perlawanan.

"Bahagian indah dalam UCL akan bermula dan saya yakin kami akan bersedia sepenuhnya untuk itu," kata pemain bintang berusia 33 tahun itu, yang menyaksikan satu percubaannya mengenai palang gol Young Boys, seperti yang dipetik UEFA.com.

"Saya tenang kerana saya tahu potensi pasukan ini dan potensi saya.

"Saya boleh menjaringkan beberapa gol dengan mudah tetapi inilah bola sepak, kami perlu fokus dalam permainan seterusnya."

Penalti Hoarau pada minit ke-30 meletakkan Young Boys di depan dalam aksi di Bern itu, di mana bekas pemain Perancis tersebut menggandakan kedudukan ketika permainan berbaki 22 minit.

Paulo Dybala mengurangkan defisit gol -- 10 minit menuju masa kecederaan -- atas bantuan daripada Ronaldo tetapi Juve buntu dalam mencari gol penyamaan.

"Kami sedar bahawa ia akan menjadi perlawanan yang sukar di sini.

"Kami mempunyai beberapa peluang menarik dalam babak pertama dan tidak menjaringkan gol. Saya fikir itu adalah pengajaran terbesar bagi kami.

"Selepas mereka menjaringkan gol, kami tahu ia akan menjadi sukar. Namun, kami gembira kerana telah menjuarai kumpulan.

"Itu matlamat yang kami ingin capai untuk melihat siapa yang akan kami hadapi selepas ini," kata pemain tengah Juve, Emre Can. 
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen