Malaysia mengalami kekalahan pertama dalam kelayakan Kejohanan AFC B-19 selepas tumpas di tangan tuan rumah, Korea Selatan, 3-0 di Stadium Paju, hari ini.

Anak buah Bojan Hodak dibolosi tiga gol dalam babak pertama, bermula dengan jaringan Um Wonsang yang membuat lonjakan tinggi untuk menanduk masuk pada minit ke-12 bagi memecah kebuntuan perlawanan.

Bagaimanapun, Malaysia sekurang-sekurangnya meraih tiga peluang terbaik menerusi Nik Akif Syahiran Nik Mat dalam separuh masa pertama.

Ia bermula pada minit keempat apabila pemain dari Kelantan itu sempat melepaskan rembatan ke arah pintu gol Korea, namun sedikit tersasar.

Selepas itu, dia gagal memenangi dua sepakan penalti. Pada minit ke-20, pemain tengah negara itu dijatuhkan di dalam kotak penalti tetapi pengadil perlawanan tidak mengendahkan rayuan penaltinya sebelum pemain itu dikasari sekali lagi selepas membuat larian bijak, lapan minit kemudian.

Ketika Malaysia berusaha keras untuk memburu gol penyamaan, gawang negara dihukum dengan dua lagi gol yang dihasilkan ketika perlawanan menuju waktu rehat.

Kim Jung Min, yang diberi ruang untuk menyempurnakan gerakan dari sebelah kiri, menewaskan penjaga gol negara, Azri Abdul Ghani, pada minit ke-38.

Sepakan penalti dalam masa tambahan babak pertama menerusi Cho Young Wook membawa Korea selesa di depan 3-0.

Tuan rumah dilihat sudah berpuas hati dengan kedudukan itu walaupun tidak mengendurkan serangan pada separuh kedua, meletakkan Malaysia dalam tekanan untuk mencari jaringan pertama.

Penguasaan penuh yang ditunjukkan Korea nyata membuktikan mereka sebuah pasukan yang berada di kelas berbeza.

Mereka selesa bermain hantaran pendek di depan gawang Malaysia yang membuatkan pelawat bertungkus-lumus menyelamatkan keadaan.

Kekalahan ini menyebabkan Malaysia -- yang menepati sasarannya berada di tangga kedua -- gagal mendapat kelayakan automatik ke pusingan akhir kejohanan itu di Indonesia pada tahun depan, sebaliknya perlu menunggu sehingga selesai semua pusingan kelayakan.

Menurut format kejohanan, lima pasukan terbaik di tangga kedua dalam 10 kumpulan akan mara, dan ini bermakna Malaysia harus menunggu keputusan penuh perlawanan kumpulan lain.

Skuad negara mengumpul tiga kemenangan dengan menewaskan Timor-Leste 3-1, Brunei 1-0 dan Indonesia 4-1.