Azhan sedia jika diberi peluang

Oleh Staff Writer 22 November 2018 3053
Azhan sedia jika diberi peluang
Pertahanan negara, Amirul Azhan Aznan, melaungkan hasrat untuk memberikan aksi terbaiknya jika diberi peluang membarisi kesebelasan utama dalam perlawanan terakhir Kumpulan A, Piala Suzuki AFF menentang Myanmar di Stadium Nasional Bukit Jalil, Sabtu ini.

Azhan merupakan antara pemain negara yang belum mendapat peluang beraksi selain Nazirul Naim Che Hashim, Kenny Pallraj, Adam Nor Azlin, Farizal Marlias dan Hafizul Hakim Khairul Nizam Jothy.

Bagi posisi Azhan selaku pertahanan kanan, pengendali kebangsaan, Tan Cheng Hoe, telah menggunakan khidmat Syahmi Safari dalam tiga perlawanan bertemu Kemboja, Laos dan Vietnam.

Namun, terdapat kemungkinan berlaku perubahan di posisi itu, dengan Azhan dipertaruhkan, sekali gus bakal membuat penampilan sulungnya dalam kejohanan.

"Apa pun terpulang kepada jurulatih kerana dia yang akan memberikan peluang kepada mana-mana pemain.

"Semestinya saya mengharapkan peluang dan jika diberi, saya akan cuba mempamerkan aksi terbaik," kata Azhan.

Berdasarkan sesi latihan skuad negara semalam, pertahanan Perak berusia 25 tahun itu tampak diuji Cheng Hoe.

Dia digandingkan bersama Aidil Zafuan Abdul Radzak, Shahrul Saad dan Syazwan Andik sehingga menjadi peluang terbaik buat Azhan untuk membuktikan kemampuannya kali ini.

"Kami sedar lawan banyak menggunakan corak serangan balas memandangkan mereka dibarisi rata-rata pemain bawah usia 20 tahun. Barisan benteng mereka juga agak kukuh," tambah Azhan.
 

Tentang Penulis

Staff Writer

Komen