Selain Syamer Kutty Abba dan Mohd Nazmi Faiz Mansor, pemain tengah Pahang, Nor Azam Azih, juga dilihat mampu menjadi calon pengganti Safiq Rahim di bahagian tengah bagi menghadapi Korea Utara dalam kelayakan Piala Asia 2019 di Buriram, Thailand, esok.

Azam, yang menyerlah dalam Sukan SEA Kuala Lumpur, Ogos lalu, dilihat mempunyai ciri-ciri seorang perancang berkualiti ketika beraksi bersama skuad B-22 negara mahupun bersama skuad Tok Gajah dalam Liga Malaysia.

Mengakui saingan sengit untuk merebut posisi itu, Azam tetap menaruh harapan tinggi sekalipun masih belum membuat penampilan pada peringkat senior.

Dia juga berharap tidak gugup jika diturunkan kerana sedar ia bukan satu tugas mudah menggantikan tempat Safiq.

"Saya akan memberikan 100 peratus untuk perlawanan esok. Kalau nak ikutkan susah untuk mendapatkan tempat sebab ramai lagi pemain yang bagus-bagus.

"Tetapi sebagai pemain, kami harus bersaing secara sihat. Beto (Ahmad Khairil Anuar Zamri) dan Kiko (Insa) adalah pemain yang bagus juga," katanya.

Sementara itu, Insa yang bermain di posisi pertahanan melihat bakat-bakat muda, termasuk Azam, sudah sedia memikul tanggungjawab jika diberi peluang beraksi untuk bertemu Korea Utara.

Malah, dia menganggap kemampuan mental Azam dan rakan-rakan sudah teruji selepas menempuh pengalaman tersendiri dalam Sukan SEA lalu.

"Bagi pemain muda, mereka mempunyai cabaran dan peluang yang baik selepas dipanggil oleh jurulatih (Nelo Vingada).

"Inilah masa yang baik untuk membuktikan kemampuan. Mereka telah membuat persediaan yang baik dan sedia untuk beraksi," katanya.

Safiq digantung satu perlawanan selepas pengadil dari Sri Lanka, Nivon Robesh Gamini, melayangkan kad merah kerana mendapati kapten pasukan negara itu memijak pemain Hong Kong, 10 Oktober lalu.

Peluang Malaysia seperti sudah tertutup untuk layak ke Piala Asia selepas hanya menduduki tangga tercorot Kumpulan B dengan satu mata.

Sementara itu, Lubnan muncul pasukan yang hampir pasti layak dengan 10 mata, diikuti Hong Kong di tangga kedua.