Diego Maradona adalah satu "seni sejati" manakala Lionel Messi merupakan "Speedy Gonzales", menurut penolong jurulatih Argentina, Roberto Ayala.

Bekas pertahanan skuad Albiceleste itu pernah beraksi di samping Maradona pada awal kariernya sementara bersama Messi di penghujung kariernya.

Bekas bek tengah Napoli, Milan dan Valencia itu percaya bahawa terdapat perbezaan ketara di antara kedua-dua pemain tersebut yang dianggap sebagai yang terbaik pernah dihasilkan Argentina.

"Saya pernah beraksi dengan mereka berdua, penampilan antarabangsa sulung saya adalah bersama Diego. Mereka adalah dua gergasi bola sepak dan sebaik Messi bersara, Messi akan dikenang," katanya kepada FOX Sports.

"Saya tidak pasti Messi menyerupai Diego, itu bukan satu masalah. Mereka adalah berbeza. (Sentuhan) Diego merupakan seni sejati dalam semua gerakannya manakala Messi seperti Speedy Gonzales yang mengawal bola dengan jarak dua sentimeter dari kakinya."

Kegagalan Messi untuk memenangi gelaran antarabangsa bersama skuad senior sering dibandingkan dengan pencapaian Maradona, yang menerajui kejayaan negara itu dalam Piala Dunia 1986.

Bintang Barcelona itu tewas keempat-empat final disertainya -- tiga dalam edisi Copa America dan Piala Dunia 2014 -- tetapi Ayala yakin dia masih boleh berjaya dengan skuad Amerika Selatan berkenaan.

Ayala juga kagum dengan kerendahan hati pemenang enam Ballon d'Or itu ketika mewakili pasukan kebangsaan.



"Saya harap dia dapat mempamerkan kemampuan sebenarnya bersama skuad negara, dia membolehkan kami berkembang sebagai sebuah pasukan dengan kelibatnya, bukannya pasukan kebangsaan mengikut acuannya," katanya lagi.

"Dia sendiri yang mahu dilayani seperti itu. Kami berpesan kepada rakan sepasukannya bahawa dia tidak akan mendapat layanan lebih istimewa berbanding pemain lain. Semua pemain perlu memainkan peranan, beraksi seperti yang mereka lakukan bersama kelab dan dia akan membantu mereka. Mereka harus memanfaatkannya."