Jurulatih Marseille, Andre Villas-Boas, berharap pasukannya mampu menggunakan kelebihan ke atas 'saat lemah' Paris Saint-Germain (PSG) menjelang aksi Classique esok.

PSG memulakan musim Ligue 1 dengan penuh kekecewaan Khamis lalu, apabila sang juara itu tewas 1-0 tewas kepada pendatang baru, Lens.

Finalis Liga Juara-Juara (UCL) itu tanpa kelibat tujuh bintang utama, dengan Neymar, Kylian Mbappe, Angel Di Maria, Leandro Paredes, Mauro Icardi, Marquinhos dan Keylor Navas kesemuanya terpaksa diarah perintah berkurung selepas diuji positif coronavirus.

Thomas Tuchel tidak terlalu bimbang dengan kekalahan tersebut, mengakui selepas perlawanan bahawa dirinya tidak pasti bila pemain-pemain utama akan kembali beraksi -- namun Neymar telah mengesahkan penyertaannya dalam sesi latihan.

PSG mengatasi Marseille 4-0 di Parc des Princes dalam aksi terakhir musim lalu tetapi Villas-Boas -- yang bersama pasukan menamatkan saingan Ligue 1 musim lalu di tempat kedua -- berharap untuk menggunakan kelebihan di atas kelemahan seteru mereka itu.

"Saya masih lagi punyai cita-cita. Kami tewas 4-0, mengakhiri saingan di tempat kedua, hampir dengan penghuni tangga ketiga. Setiap perlawanan berharga tiga mata, walaupun aksi istimewa seperti Classique," kata Villas-Boas.

"Malang buat mereka ketika berdepan saat paling sukar namun kami masih meletakkan sasaran untuk bermain dan menang.

"Ia adalah perlawanan penting. Kami mahu menggunakan peluang ini dengan sebaik mungkin."
Bagaimanapun, Villas-Boas mengakui masih tidak mengetahui pemain mana yang bersedia untuk diturunkan oleh PSG dan ia dianggap sebagai masalah buat Marseille.

"Apa yang menjengkelkan adalah kekurangan maklumat. Tiada kepastian pemain mana yang bakal diturunkan Tuchel ketika ini.

"Namun apa yang jelas adalah mereka tidak dapat beraksi dengan 100 peratus. Kami sudah bersedia namun PSG semestinya akan berusaha untuk bangkit."