Australia-New Zealand menang bidaan tuan rumah Piala Dunia Wanita 2023

Oleh Bernama 26 Jun 2020 50
Australia-New Zealand menang bidaan tuan rumah Piala Dunia Wanita 2023
Australia dan New Zealand akan menjadi tuan rumah bersama Piala Dunia Wanita 2023, demikian diumumkan oleh Persekutuan Antarabangsa Persatuan Bolasepak (FIFA) awal pagi ini.

FIFA, dalam satu kenyataan memaklumkan Persekutuan Bolasepak Australia (FFA) dan Bolasepak New Zealand (NZF) telah memenangi undi yang dijalankan oleh Majlis FIFA semasa mesyuaratnya yang diadakan menerusi sidang video, yang keputusannya diumumkan oleh Presiden FIFA, Gianni Infantino.

Bidaan bersama itu memperoleh 22 daripada 35 undi sah oleh ahli Majlis berkenaan dalam undi pertama, untuk mengetepikan pencabar terdekat, Persatuan Bolasepak Colombia, yang menerima 13 undi.

Selepas kejayaan mengejutkan Piala Dunia Wanita 2019 di Perancis, edisi akan datang akan mempunyai beberapa perkara yang akan mengukir sejarahnya sendiri.

Edisi 2023 akan menjadi edisi pertama mengetengahkan 32 pasukan, pertama kali Piala Dunia Wanita akan diadakan di rantau Asia-Pasifik, pertama kali pernah diadakan di selatan Hemisfera dan ia juga kali pertama Australia dan New Zealand menjadi tuan rumah bersama dan melangkaui dua persekutuan -- Persekutuan Bolasepak Asia (AFC) dan Persekutuan Bolasepak Oseania (OFC).

Presiden NZF dan Ahli Majlis FIFA, Johanna Wood, yakin Australia-New Zealand akan menjayakan kejohanan itu seperti yang belum pernah dilihat sebelum ini.

“Australia dan New Zealand bukan sahaja akan menjadi tuan rumah Piala Dunia Wanita FIFA iaitu kejohanan terbesar pernah diadakan tetapi ia juga menjadi pemangkin bagi memastikan pembangunan bola sepak wanita di rantau Asia-Pasifik dan global.

“Kedua-dua negara ini telah bekerjasama untuk memberi sesuatu kelainan, yang bersejarah dan luar biasa dan saya ingin berterima kasih kepada FIFA dan seluruh keluarga bola sepak kerana memberi peluang ini kepada kami. Piala Dunia Wanita FIFA 2023 akan menyatukan kita semua dalam satu sambutan dalam kalangan kita yang cintakan bola sepak,” katanya dalam satu kenyataan berasingan.

Presiden FFA, Chris Nikou, pula percaya lokasi geografi yang unik FFA dan NZF adalah kunci kekuatan terhadap kejayaan bidaan itu.

“Piala Dunia Wanita FIFA 2023 di Australia dan New Zealand akan dipelopori dalam pelbagai cara. Kita akan membuka potensi pertumbuhan yang lebih besar dalam bola sepak wanita di rantau Asia-Pasifik ini,” katanya.

Sementara itu, Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF) melahirkan keyakinan bahawa Australia dan New Zealand mampu mempamerkan tanggungjawab yang cemerlang dalam pengendalian Piala Dunia Bolasepak Wanita 2023.

”Bagi pihak AFF, ahli persatuan kami dan berjuta peminat bola sepak di Asia Tenggara ini, kami mengucapkan tahniah kepada Australia dan New Zealand. Saya yakin mereka akan menjadi tuanrumah yang cemerlang dan akan mencipta satu acara yang luar biasa dan yang akan diingati pada 2023,” kata Presiden AFF, Major Jen Khiev Sameth dalam kenyataan ringkas, hari ini.

-- BERNAMA

Tentang Penulis

Bernama

Komen