Ausilio: Icardi gembira, mahu kekal di San Siro

Oleh Penulis Jemputan 26 November 2017 33
Ausilio: Icardi gembira, mahu kekal di San Siro
Pengarah sukan Inter, Piero Ausilio, menegaskan kapten pasukan, Mauro Icardi, gembira dan mahu kekal bersama kelab itu di sebalik laporan bahawa juara Sepanyol dan Eropah, Real Madrid, berminat mendapatkan khidmatnya.

Icardi – yang memiliki kontrak hingga 2021 selepas memperbaharuinya pada Oktober tahu lalu -- dikaitkan dengan perpindahan ke Real selepas mempamerkan persembahan cemerlang dalam saingan Serie A.

Pemain berusia 24 tahun itu telah menjaringkan 15 gol selepas meledak dua gol ke atas Cagliari ketika membantu pasukan meraih kemenangan 3-1, sekaligus meletakkan Inter di persada liga.

Ausilio yakin untuk mengekalkan khidmat Icardi, yang menjaringkan 24 gol dalam saingan Serie A, musim lalu.

"Ia bukan mengenai kontraknya, segala-galanya terletak pada keinginan Icardi. Dia mahu menjadi seorang pemain yang penting buat Inter. Icardi mahu kekal bersama kami dalam tempoh yang panjang," kata Ausilio.

"Icardi telah membuktikan kebolehannya mengetuai pasukan ini, dia merupakan seorang pemain yang berpengaruh untuk pasukan ini bagi melihat Inter kembali beraksi di Eropah.

"Inter perlu mengekalkan pemain-pemain bagi memastikan kami akan kembali beraksi dalam saingan Liga Juara-Juara (UCL) tetapi kami perlu terus berusaha keras," hujahnya.

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen