AUG: Skuad bola sepak belum temui penyudah berkesan 

Oleh Penulis Jemputan 17 November 2018 414
AUG: Skuad bola sepak belum temui penyudah berkesan 
Pengendali pasukan bola sepak Universiti Malaysia (MUFT), Mohd Yazli Yahya, berdepan cabaran getir untuk menggilap ketajaman jentera serangan memandangkan masa kian suntuk untuk menghadapi kempen Sukan Universiti ASEAN (AUG) 2018, bulan depan.

Yazli perlu mengenal pasti 20 pemain terbaik yang ingin dibawa ke Naypyidaw, Myanmar, tatkala skuad pelatihnya kini terdiri daripada 30 orang pemain.

Memandangkan mereka dihimpunkan sejak awal bulan ini, Yazli tidak mempunyai banyak masa untuk merencana strategi ampuh dalam persediaan menghadapi AUG kali ini.

Dengan Malaysia menyasarkan separuh akhir, Yazli diulit resah apabila jentera serangannya tampak tumpul selepas mengharungi dua perlawanan persahabatan menentang pasukan Konfederasi Bolasepak Universiti Korea (KUFC) -- menang 1-0 pada Rabu lalu dan kemudian diikat 1-1 semalam. 

"Secara keseluruhannya, pemain telah bermain dengan baik. Cuma penyudah kami kurang tajam. 

"Saya menggunakan barisan pemain yang berbeza dalam perlawanan ini berbanding aksi pertama. 

"Ada beberapa pemain yang beraksi di peringkat universiti dilihat masih gugup ketika berhadapan lawan," katanya. 

Dua tahun lalu di Singapura, perjalanan skuad negara terkandas di peringkat kumpulan.

Meskipun undian acara bola sepak masih belum dilakukan, Yazli berharap mimpi ngeri itu tidak akan berulang di Myanmar nanti.

"Ini merupakan fasa terakhir untuk saya menyenaraikan 20 pemain terbaik dalam kalangan penuntut Institusi Pengajian Tinggi (IPT) Malaysia. 

"Barisan kejurulatihan dan pengurusan sudah mengenal pasti calon-calon yang akan dibawa ke Myanmar nanti, kami akan umumkan dalam masa terdekat," katanya lagi. 
 

Tentang Penulis

Penulis Jemputan

Komen